Tuesday, November 1, 2011

10 Kebaikan Insan Sentiasa Berzikir

Pada pendapat saya, berzikir boleh menenangkan hati. Jika kita berada dalam kesusahan atau sebagainya, kita hendaklah sentiasa beringat kepada Allah iaitu dengan cara berzikir... http://epondok.wordpress.com/2010/03/28/10-kebaikan-insan-sentiasa-berzikir/                                               
                                                                                                                                                                           
 DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.
Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?
Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.
Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35
Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.
Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’
Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi
Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah
[1] seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.
[2] Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah,
[3] dimurahkan ruang rezekinya,
[4] membangkitkan aura sahsiah peribadi murni,
[5] dapat menghidup dan menjernihkan hati.
[6] Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah,
[7] mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji.
[8] Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik
[9] dan bersedia hidup penuh berani.
[10] Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq.
Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.
Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.
                                                                             
                                                                                                                                                                             

Wednesday, October 26, 2011

Langkah-Langkah Untuk Memupuk Semangat Kejiranan.

Semangat kejiranan harus dipupuk sejak dari awal lagi. Pada pendapat saya, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan kerana apabila mereka mengamalkan semangat kejiranan, negara akan aman damai.http://cikgutancl.blogspot.com/2008/07/karangan-spm-langkah-memupuk-semangat.html             
                                                                                                                                                                             

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu“bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Kepentingan Sambutan Hari Perayaan Di Malaysia.

Negara Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan bangsa. Setiap kaum mempunyai perayaan tersendiri. pada pendapat saya, kebaikan menyambut hari perayaan bersama-sama dapat menyatu padukan rakyat Malaysia.http://pmrbest.blogspot.com/2010/01/karangan-3-kepentingan-sambutan-hari.html                             
                                                                                                                                                                                 
Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan sedikit hidangan makanan. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.

Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum.

Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan masa masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.

Kebaikan Dan Keburukan Internet

Pada pendapat saya, internet sangat bagus kepada pengguna terutamanya kepada pelajar yang ingin mencari maklumat dengan mudah dan pantas. Tetapi internet juga ada keburukannya.http://my.opera.com/karanganbm/blog/kebaikan-den-keburukan-internet                                     
                                                                                                                                                                         
Internet banyak memberi manfaat kepada pengguna terutama pelajar di institusi pengajian tinggi . Ia membuka suatu dimensi baru kini sebagai sumber rujukan mudah dan pantas dari segi masa dan lokasi. Ia hampir menggantikan kaedah pembelajaran atau pencarian maklumat cara lama iaitu penggunaan perpustakaan .

Masyarakat ramai juga tidak terlepas dari merasai bahang Internet dengan capaian berita dengan cepat dan pantas samada berita liputan dalam atau luar negara misalnya liputan mutakhir sukan dari seluruh dunia seperti France '98 mahupun berita panas seperti perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun terdapat beberapa kebaikan lain seperti :

Pendidikan dalam Internet

Kini terdapat universiti yang berkonsepkan maya contohnya UNITAR yang menyediakan akaun Internet untuk para pelajarnya. Kini para pelajar bukan sekadar menggunakan Internet untuk berkongsi maklumat dan penyelidikan tetapi juga mengambil kursus tanpa perlu melangkah kaki ke dalam bilik kuliah. Malahan mengambil soalan tugasan, membuat kuiz dan menduduki ujian melalui Internet. Kumpulan berita membolehkan para pendidik dan pelajar bertanyakan sesuatu, mendapatkan nasihat dan menyemak maklumat. Teknologi persidangan video membolehkan pelajar dalam sesebuah kelas bekerjasama melaksanakan sesuatu projek. Begitu juga penggunaan perpustakaan maya dimana membenarkan anda mencari buku dalam talian jika anda mempunyai kad perpustakaan dengan perpustakaan tersebut.

Perniagaan dalam Internet

Internet boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan. Bidang perniagaan meningkatkan penggunaan Internet dalam dua cara : (1) memasar dan menjual barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik.(2) mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet . Maka bermula dari sini orang ramai boleh membeli di rumah atau di tempat perniagaan.

Perubatan dalam Internet

Internet menrevolusikan setiap aspek sistem perubatan bermula daripada cara para doktor kita dilatih, capaian maklumat penjagaan kesihatan hinggalah kepada cara doktor merawat dan menjalankan pembedahan. 'Hospital maya' sudah pun berkembang dalam Internet. Hospital ini sebenarnya tidaklah merawat pesakit tetapi memberi capaian khazanah sumber perubatan yang begitu banyak yang terdapat dalam Internet. Pengguna biasa sebagai contoh dapat menyemak seimbas atau membuat pencarian dalam pangkalan data untuk mencari jawapan kepada permasalahan kesihatan yang dihadapi. Bagaimanapun perubahan paling ketara dalam cara rawatan kini dengan apa yang dinamai sebagai 'teleperubatan'. Dengan menggunakan teknologi ini, pembedahan dapat dilakukan oleh seseorang doktor bedah walaupun berada berbatu-batu dari bilik pembedahan.

Keburukan Internet

Disebalik kebaikan yang begitu banyak terdapat beberapa kelemahan atau keburukan Internet. Ia ibarat sebilah pisau yang begitu berguna jika digunakan untuk memotong buah atau sayur tetapi menjadi satu kesalahan pula jika ia digunakan untuk membunuh.

Terdapat beberapa keburukan Internet seperti :

Medium penyebaran dakyah jahat
Menyesatkan fahaman pengikut agama lain atau ajaran sesat seperti yang dilakukan oleh golongan anti Islam khasnya daripada kalangan Yahudi dan Nasrani yang memalsukan ajaran islam dan memburukkan-burukkan agam islam. Memberi maklumat palsu untuk kepentingan puak tertentu. Malah terdapat juga laman web yang mengajar cara-cara membuat bom seperti yang diusahakan oleh kumpulan mafia 'Trench Coat'. Medium penyebaran virus Terutama penyebaran melalui penghantaran e-mel seperti virus Mutant, Melissa dan yang terbaru adalah virus CIH yang menyerang sistem komputer hingga lumpuh keupayaannya. Kesan daripada serangan virus hinggalah merosakkan sistem sesebuah PC. Pecah-masuk ke sistem lain Iaitu pencerobohan memasuki ke sistem orang lain tanpa hak seperti penyelewengan akaun bank.

Pornografi
Carian menggunakan enjin carian Google dengan menggunakan perkataan "porn" pada 1 Januari 2010 mendapati sebanyak 180,000,000 laman web yang berkaitan pornografi. Ia telah menjadi satu isu yang sensitif dan boleh mempengaruhi kepada perlakuan tidak sihat terutama kepada remaja belasan tahun kerana Internet membenarkan access tanpa had. Ia sudah tentu boleh melekakan masyarakat Islam dari kehidupan yang sihat.

Kesimpulan:
Internet merupakan senjata era globalisasi. Seperti pisau, ia boleh digunakan untuk kebaikan dan juga untuk keburukan. Apa yang penting, para pengguna internet, sejak kecil lagi mereka perlu dilengkapi dengan kekuatan dalaman atau kekuatan dalaman agar merek amempunyai asas yang kuat untuk mendidiplinkan diri mereka agar tidak terpengaruh dengan keburukan internet.

Monday, October 17, 2011

Khasiat Ayat Kursi

Pada pendapat saya, umat islam harus menghafal ayat Kursi kerana apabila membaca ayat Kursi iblis dan syaitan akan menjadi gempar kerana adanya suatu alamat yang menjadi peritang dalam perjuangannya.http://junjungan.wordpress.com/khasiat-ayat-kursi/                                                                     
                                                                                                                                                                           

Khasiat Ayat Kursi:
  1. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan istikamah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah atau kepasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaallah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dann keluarganya, anak-anak nya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.
  2. Terdapat keterangan dalam kitab Assarul Mufidah, barang siapa yang mengamalkan membaca ayat kursi, setiap kali membaca sebanyak 18 kali, inyaallah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dada dengan berbagai hikmat, dimudahkan rezekinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, diperlihara dari segala bencana dengan izin Allah s.w.t.
  3. Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulallah s.a.w.
  4. Syeikh Abul ‘Abas alBunni menerangkan: “Sesiapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), di tiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka inysyaallah tuhan mencerdaskan akalnya dan memudahkan faham pada pelajaran yang dipelajari.
  5. Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas sembahyang fardhu, Tuhan akan mengampunkan dosanya. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, terpelihara dari gangguan syaitan, dan sesiapa yang membacanya ketika ia marah, maka akan hilang rasa marahnya.
  6. Syeikh alBuni menerangkan: Sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka insyaallah, Tuhan akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dam melapangkan fikiranyan, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.
  7. Barang siapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Tuhan mewakilkan dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi.
  8. Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.
  9. Syeikh Buni menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran denga nisyarat nafas sambil membaca ayat Kuris. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya kedalam garis lingkaran tersebut menghadap kearah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebayak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, insyaallah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.
  10. Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi alQuran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an)

Adab Membaca Al- Quran

Orang yang hendak membaca Al-Quran hendaklah beradab ketika membacanya.Berikut adalah karangan daripada http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/410/Kelebihan-Al-Quran                                       
                                                                                                                                                                         
Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi:
    • Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. Berkata Yazid bin Abdul Mallek: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.
5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).
    • Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
    • Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
    • Firman Allah S.W.T: Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.
(Surah Al-Furqan: 32)
    • Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.
(Surah Al-Muzammmil: 4)
    • Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saidina Ali k.w berkata: Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
    • Allah S.W.T. berfirman: Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’: 9) Firman Allah S.W.T.: Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.
(Surah Al-Isra’: 82)
    • Firman Allah S.W.T. lagi: Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
    • Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.
    • Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:
    • Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:  “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
    • Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
    • (Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:
    • Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.
      

Kelebihan Membaca Al- Quran

Terdapat banyak kelebihan kepada orang yang membaca Al-Quran.Berikut adalah karangan daripada http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/410/Kelebihan-Al-Quran                                                                                                    
                                                                                                                                                                                                       
Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: 
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.

Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.

Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:

Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus.
(Surah Al-Maidah: 14 &15)

Firman Allah S.W.T lagi:

Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 2)

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda: 
“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.

Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.



Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:

Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.

Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata: 
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”