Tuesday, June 7, 2011

punca punca bangunan lama terbiar dan dimusnahkan

Bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Bangunan Merah di Melaka sering menjadi destinasi kunjungan pelancong asing dan tempatan. Situasi ini membuktikan bahawa bangunan lama itu memang berpotensi untuk menjana sumber kewangan kepada negara ini jika diuruskan dengan berkesan. Masyarakat juga sudah mula matang dan menerima kepentingan kewujudan bangunan bersejarah sebegini. Namun, masih ada pihak yang suka memusnahkan warisan sejarah dengan pelbagai alasan yang menarik untuk difahami semua.
afamosa28ew Karangan SPM 15: Punca punca Bangunan Lama Terbiar Atau Dimusnahkan.
Salah satu punca yang mendorong bangunan bersejarah ini dimusnahkan ialah lokasi bangunan ini boleh dimajukan untuk sesuatu projek yang lebih menjana keuntungan seperti mendirikan projek perumahan atau membina pusat membeli-belah yang luas. Biasanya kawasan bangunan bersejarah ini menjadi kawasan perniagaan utama kerana peredaran masa menjadikannya begitu strategik untuk projek pembangunan pula. Pembinaan projek pembinaan moden mampu menjamin lebih banyak pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek kepada mana-mana pemaju projek tersebut. Jadi, faktor kawasan yang strategik menjadikan bangunan bersejarah sasaran utama pemaju untuk membina projek mereka lalu mengaut keuntungan dengan mudah.
Selain itu, faktor kekurangan sumber kewangan dan tenaga pakar untuk menyelenggarakan bangunan bersejarah juga menjadikan bangunan ini lebih sesuai dimusnahkan begitu sahaja. Kita semua sedia maklum pembinaan bangunan sebegini menggunakan bahan dan seni bina lama yang pastinya memerlukan penyelenggaran yang teliti dan professional sifatnya. Negara kita masih kekurangan pakar yang mampu memulihara semua bangunan lama ini ini selain kekurangan sumber kewangan daripada penderma-penderma hartawan untuk membiayai projek penyelenggaran sebegini mahal. Oleh itu, bangunan lama ini lebih sesuai dimusnahkan kerana kos menjaganya lebih tinggi daripada membina bangunan baru.
Bukan sahaja sumber kewangan yang tinggi dan lokasi yang strategik tetapi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya bangunan bersejarah juga masih belum menebal dalam jiwa masyarakat kita. Kalau kita hendak bandingkan dengan masyarakat luar negara, tahap kesedaran menjaga bangunan lama di negara ini masih agak rendah lantaran negara kita baru sahaja mengecap alam kemerdekaan berbanding negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat itu. Perasaan sebegini menyebabkan tahap penentangan terhadap kemusnahan bangunan lama begitu rendah sehingga ada bangunan lama dirobohkan tanpa masyarakat umum mengetahuinya. Jelaslah, kesedaran untuk menjaga bangunan lama masih lagi belum begitu tebal untuk menghalang bangunan ini terus menerus hilang dalam lipatan sejarah negara kita.
Malah, kekurangan akta perundangan yang ketat dan menyeluruh turut menjadikan kemusnahan bangunan lama di negara ini sesuatu yang lumrah sahaja. Pihak pemaju sudah mengetahui semua kelemahan dalam sistem perundangan yang berkaitan dengan bangunan lama lalu mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk memberi sedikit kelebihan kepada mereka pula. Tindakan mereka ini menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan mereka walaupun menyedari bahawa bangunan lama itu penting dan harus dikekalkan kewujudannya lantaran kelemahan sistem perundangan tersebut. Maka, kelemahan dalam sistem perundangan telah menjadikan masalah ini semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.
Konklusinya, semua punca yang dinyatakan itu telah menjadikan negara ini kehilangan bangunan bersejarah saban tahun. Kerjasama semua terutama pihak berkuasa untuk menghalang tindakan negatit ini amat penting. Kita tidak mahu generasi masa depan hanya mengenali sesuatu bangunan lama itu berdasarkan sekeping gambar sahaja tanpa melihat bukti yang sahih. Sejarah memaparkan budaya masyarakat lalu tanpa bangunan sebegini wujud tiadalah budaya sesuatu bangsa tersebut.

bayangkan gempa bumi berlaku di malaysia

Peristiwa yang melanda Jepun telah menyebabkan kita semua tertanya-tanya sama ada kejadian gempa bumi dan tsunami ini sudah menjadi satu kebiasaan pula dalam era ini. Satu demi satu kejadian gempa berlaku secara berturut-turut yakni di New Zealand dan kemudiannya di Jepun yang menyaksikan betapa ancaman gempa bumi ini sesuatu yang membahayakan. Ratusan ribu yang menemukan ajalnya dalam kedua-dua kejadian gempa ini harus menjadi satu peringatan kepada kita semua tentang betapa rapuhnya kehidupan yang kita alami sekarang.
Kejadian yang maha menakutkan itu membuktikan bahawa dunia kita memang sesuatu yang sukar untuk difahami. Dunia ini boleh meluahkan kemarahan mereka dengan begitu sahaja dan kemudian diam seketika sebelum meluahkan semula kemarahan mereka itu. Walaupun sudah ada kajian saintis yang boleh membuat ramalan itu tetapi kita memerlukan satu ramalan yang lebih tepat dan lebih lama yang membolehkan lebih awal sesuatu amaran diberikan kepada penduduk di mana-mana negara di dunia ini.
Kalau kita lihat kejadian gempa bumi ini memaparkan betapa pentingnya kita membuat persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh melanda sesebuah negara itu. Bayangkan Malaysia dilanda gempa bumi yang begitu hebat seperti di Jepun. Adakah negara kita mampu untuk menanganinya dengan baik? Bagaimanakah pula sistem amaran awal negara yang dahulunya heboh diperkatakan? Atau adakah pasukan penyelamat kita mampu untuk menangani sebarang kejadian yang berskala besar itu?

menulis perlukan latihan

Masih ramai yang tidak sedar bahawa untuk menulis anda kena banyak menulis. Hendak kaya kita mestilah rajin bekerja dan mencari wang. Samalah juga dengan menulis. Idea sahaja tidak cukup untuk menjadi penulis yang baik. Idea itu mestilah disesuaikan dengan kemahiran untuk menulis dengan baik.
Kemahiran menulis ini hanya boleh diperoleh dengan membuat latihan demi latihan sahaja. Pelajar hendaklah memilih satu tajuk dan menetapkan masa untuk menghabiskan latihan karangan itu. Setiap latihan yang dibuat pasti memberikan pelajar satu ruang untuk menilai dan membuat karangan itu menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang.
Jadi, pelajar harus merenung diri dan bertanya berapa banyak latihan yang sudah dilakukan selama ini?
Menulis Menulis Perlukan Latihan

mat rempit budaya kita

Isu Mat Rempit masih menjadi duri dalam daging di negara ini. Pelbagai pihak mempersoalkan punca masalah ini bersama-sama impak yang dibawanya lalu mencetuskan satu perbahasan hangat dalam media massa kita. Kenapakah Mat Rempit ini menjadi satu topik perbualan hangat masyarakat?
Sudah pasti umur Mat Rempit yang rata-rata di bawah 30 itu membimbangkan kita semua. Umur yang begini mudah seharusnya dihabiskan di pejabat, universiti dan sebagainya bukannya disia-siakan di jalan raya pula.? Belia kita lebih suka menikmati bunyi motosikal yang menderu-deru bising itu daripada menghasilkan kreativiti di bidang tertentu pula. Mungkin itu kreativiti yang remaja kita semua faham.
Kegagalan ibu bapa mendidik memang menjadi punca utama kemelut ini tetapi kita harus sedar masalah ini juga disebabkan kegagalan pihak berkuasa untuk menghargai remaja. Di manakah program khas untuk remaja di negara ini? PLKN? Adakah PLKN sudah cukup? Tanpa wujudnya satu program khas remaja kita akan hidup tanpa matlamat atau visi yang sejajar dengan kemodenan negara kita.
Mungkin sudah sampai masanya kita semua sedar bahawa kewujudan Mat Rempit membuktikan negara kita sudah tersilap dalam merangka dasar untuk remaja sendiri. Kita perlu merenung jauh dan mencari jalan untuk memastikan remaja kita tidak menghabiskan masa dengan berlumba di jalan raya. Kita tidak mahu remaja kita membunuh mereka yang tidak berdosa sedangkan Mat Rempit terus hidup untuk meneruskan perjuangan mereka menjadi raja di jalanan itu.
Hairannya, kita pakar Mat Rempit tapi kita masih gagal melahirkan juara dunia dalam kejohanan motosikal dunia pula. Ganjil.

masalah sosial di negara kita

Sejak kebelakangan ini, isu yang berkaitan dengan masalah sosial di kalangan remaja berleluasa. Secara umumnya, masalah sosial dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kini. Perlakuan ini sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah kepada remaja. Perlakuan negatif ini sebenarnya terdiri daripada punca-punca masalah yang dihadapi oleh remaja tersebut. Selain itu, pelbagai langkah juga diambil untuk mengatasi masalah gejala sosial ini.
Antara punca-punca yang terlibat, punca yang pertama ataupun dikenali sebagai punca utama adalah masalah keluarga. Cara ibu bapa dalam pemberian asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan terhadap anak mereka menyebabkan mereka menjadi kurang menghormati warga-warga yang lebih tua daripada mereka dan melibatkan diri mereka dalam perbuatan-perbuatan yang negatif seperti perlumbaan haram dan rempit. Kanak-kanak yang lahir daripada keluarga yang mewah ataupun keluarga yang memanjakan anak mereka kebanyakkan terlibat dalam penagihan dadah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang kaya ataupun mewah biasanya akan memanjakan anak-anak mereka dengan memberi kelonggaran serta wang saku yang banyak. Kanak-kanak ini akan cuba dadah kerana perasaan ingin tahu mereka yang kuat akan menyebabkan mereka cuba dadah ini untuk memenuhi perasaan kehendaknya. Setelah mencuba dadah ini, mereka akan ketagihan ddan akhirnya mereka menjadi penagih dadah.
Akibat yang seterusnya merupakan pengaruh daripada persekitaran. Pada zaman globalisasi kini, perkembangan teknologi yang kian pesat ini menyebabkan pelbagai ?jenis maklumat boleh didapati daripada laman web. Hal ini mengakibatkan pelbagai jenis maklumat yang kurang sihat disebar degan berleluasa tanpa kawalan. Persekitaran ini menyebabkan remaja kini ?terikut-ikut dengan pengaruhnya. Seterusnya, maklumat kurang sihat ini menjadi punca keruntuhan moral di kalangan remaja. Selain itu, buku-buku picisan serta lucah yang terdapat dari pasaran akan mempengruhi tindakan dan perilaku remaja. Penggunaan perkataan lucah serta grafik akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap permikiran pembacanya.
Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja dilaksanakan. Justeru, strategi untuk mengatasi masalah sosial ini ditumpukan pada golongan remaja dan pelbagai langkah diambil oleh semua pihak bagi mengatasi masalah sosial ini.
Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam pemberian pemerhatian yang serius terhadap kanak-kanak mereka. Pemerhatian dibuat atas setiap gerak-geri ataupun pergerakan anak-anak mereka. Mereka juga dinasihatkan untuk mengenal pasti serta mengetahui masalah yang dihadapi bukan saja mengenal pasti dan mengetahui masalah yang dihadapi olej anak-anak mereka tetapi juga meluangkan masanya bagi mengatasi masalah anak-anak mereka.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian diadakan untuk mengatasi masalah sosial ini. Contohnya, bimbingan kaunselling di peringkat sekolah. Bimbingan kaunselling di peringkat sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam membantu remaja untuk mentelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Program ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakkan dan berpengalaman dilantik bagi memantapkan perlaksanaan serta keberkesanan kaunselling tersebut.
Selain itu, pendekatan akademik juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah sosial yang dilibatkan oleh golongan remaja. Pendekatan akademik ini dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti yang berteraskan akademik serta separa akademik contohnya, kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah. Selain itu, perubahan-perubahan teknik-teknik pelajaran dilakukan seperti perlaksanaan kelas komputer, kelas bantuan alat pandang dengar dan lai-lain.
Kesimpulanya, pelbagai langkah diambil untuk mengatasi masalah sosial ini, tetapi yang paling penting adalah ibu bapa haruslah memainkan peranan dan tanggungjawab ke atas keruntuhan ahklak di kalangan remaja. Dengan kata yang lain, walau apapun langkah yang diambil oleh pihak yang lain sekiranya tiada kerjasama daripada ibu dan bapa gejala tersebut sukar diatasi.

IMPAK KENAIKAN HARGA MINYAK

Kenaikan harga minyak dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia. Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global, peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa banyak impaknya.
Impak yang ketara ialah kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung.
Selain itu, harga barang akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya pula.
Malah, tambang pengangkutan terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak mampu untuk menggunakannya.
Tambahan pula, kenaikan harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita.
Kesimpulannya, semua kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’ amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat.

program latihan khidmat negara (PLKN)

Pada tahun 2002, Program Latihan Khidmat Negara ditubuhkan dan ia juga merupakan kursus latihan yang wajib dilatih selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN di seluruh Malaysia. Pelatih yang dipilih merupakan pelajar yang baru menamatkan pedidikan sekolah menengah mereka. Pelajar yang terlibat kebanyakkan berumur 17 tahun dan 17 tahun ke atas.

Latihan ini bertujuan untuk membinakan sahsiah diri yang bermatlamatkan pembinaan dan pengukuhkan semangat patriotisme?di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan yang positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana ia dilaksanakan menurut cara Malaysia. Program ini dilaksanakan dengan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cinta , kasih dan sayang akan negara. Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan daripada beberapa buah negara lain kerana menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.

Program dilaksanakan untuk mendatangkan pelbagai jenis manfaat kepada remaja. Remaja dapat menyemaikan nilai-nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja pada zaman ini. Perubahan masa dan cara hidup pada masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak mengetahui erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka.

Latihan PLKN ini juga bertindak sebagai satu mekanisme bagi pembentukan disiplin diri para remaja. Disiplin diri merupakan teras kepentingan bagi sesuatu kejayaan. Masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan berdisiplinkan diri dengan jadual yang ditentukan. Program ini juga dapat mematangkan fikiran mereka setelah menjalani latihan dan pengujian ketahanan mental
dan fizikal.

Program ini melibatkan remaja yang pelbagai kaum untuk memperkukuhkan integrasi nasional. Melalui program ini, remaja daripada berbilang kaum, kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan semangat perpaduan kaum. Hal ini kerana semasa menjalani aktiviti program mereka tinggal bersama-sama. Jurulatih PLKN juga membantu pelatih memahami cara Negara yang merangkumi tanah air, rakyat dan kadaulatan ini ditadbir melalui sistem pentadbiran

Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul-modul tertentu, iaitu latihan fizikal, kursus bina semangat, kursus bina perwatakan dan khidmat masyarakat. Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api atau latihan ketenteraan. Para pelajar akan belajar berkawat, tempur tanpa senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan. Melalui asas ketenteraan ini, para remaja didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan ikhtiar hidup.

Secara tuntas, Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan memang?mendatangkan kebaikan kepada remaja mahupun negara.. Justeru, semua pihak?khususya para remaja dan ibu bapa perlu menyahut seruan kerajaan dengan menyertai program ini.

plkn Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)