Thursday, June 9, 2011

hukuman rotan penting

Hukuman merotan merujuk hukuman yang dijatuhkan kepada pelajar yang melanggar peraturan di sekolah. Antara jenis kesalahan tersebut meliputi ponteng sekolah, mencuri, dan bergaduh. Jadi, memang ada banyak faktor yang menjadikan hukuman ini perlu dilaksanakan semula di sekolah.

Faktor masalah disiplin yang melanda pelajar kita kini begitu meruncing yang menjadikan pelaksanaan hukuman ini penting. Pelajar kita mudah terbabit dalam kemelut disiplin kerana cabaran kehidupan modern yang begitu hebat seperti ibu bapa sibuk bekerja dan kehidupan mementingkan status serta kebendaan yang tinggi kini. Oleh itu, tindakan merotan sahaja yang boleh menjadikan cabaran ini berada dalam kawalan kerana pelajar pasti akan memikirkan kesan merontan terhadap dirinya sebelum bertindak terburu-buru seseorang.

Pada masa yang sama, kerja guru di sekolah menjadi lebih mudah jika hukuman keras ini dilaksanakan dengan segera. Pihak guru mengambil masa yang lama untuk memberi kaunseling kepada pelajar yang belum tentu akan berjaya pula berbanding dengan merotan yang mudah dan pantas. Sesungguhnya, kerja guru menjadi lebih mudah jika hukuman ini dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.

Malah, hukuman yang sebegini tegas boleh memberikan satu pengajaran kepada pelajar secara keseluruhannya. Sesiapa sahaja yang menyaksikan hukuman ini pasti berasa begitu gerun melihatnya. Jelaslah, hukuman merotan ini mencetuskan satu keinsafan yang mendalam dalam jiwa pelajar sekolah kita pula.

Tambahan pula, imej sekolah yang berani melaksanakan hukuman merotan juga pasti meningkat pada mata masyarakat. Ibu bapa sudah pasti lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai tahap kualiti disilpin yang tinggi kerana tidak mahu anak mereka terabit dalam gejala negatif. Maka, imej sekolah pasti bertambah baik melalui pengenalan hukuman merotan ini.

Konklusinya, kewajaran untuk melaksanakan hukuman ini memang sudah terserlah berdasarkan semua hujah tadi. Kerjasama semua pihak terutamanya pelajar amat diperlukan agar masalah ini boleh diatasi dengan segera. Bak kata perumpamaan, "melentur buluh biarlah daripada rebungnya" membuktikan bahawa didikan sejak kecil terutama di sekolah memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

cara cara mengatasi masalah pembuangan bayi

Kes pembuangan bayi di negara kita memang memalukan masyarakat. Saban bulan ada sahaja kes ini dilaporkan dalam media massa negara ini. Lantaran itu, ada banyak perkara yang boleh diambil untuk memastikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini tidak menular terus.

Tindakan yang agresif ialah ibu bapa bayi yang malang ini perlu menerima hukumannya. Kita tidak seharusnya menghukum ibu sahaja tetapi ayah bayi itu juga harus bertanggungjawab. Kemungkinan tindakan yang tegas sebegini akan memberi peringatan kepada ahli masyarakat yang lain supaya berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan yang serupa.

Selain itu, usaha membuka Sekolah Harapan juga menjadi satu langkah yang bijak untuk mengatasi masalah ini. Remaja yang terlanjur dalam tindakan mereka itu boleh ditempatkan di sekolah ini untuk menerima nasihat dan bantuan ketika menunggu kelahiran bayi tersebut. Jadi, sesi kaunseling dan bimbingan ini boleh menjadikan remaja ini matang lalu berupaya untuk menjaga bayi mereka kelak.

Tambahan pula, pendidikan agama dan moral perlu diterapkan dengan lebih mendalam dalam jiwa remaja terutama ketika di sekolah. Didikan ini berupaya untuk membentuk satu dinding jati diri yang utuh lalu menghalang masalah ini berlaku pula. Sesungguhnya, didikan agama dan moral menjadikan remaja boleh membezakan antara yang baik dan yang buruk.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini perlu ditangani dengan segera. Kita harus sedar bahawa bayi itu tidak bersalah dan tidak berhak menerima nasib dibuang begitu sahaja impala sampah. Semua pihak harus berganding bahu untuk bersama-sama mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin.

Tuesday, June 7, 2011

punca punca bangunan lama terbiar dan dimusnahkan

Bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Bangunan Merah di Melaka sering menjadi destinasi kunjungan pelancong asing dan tempatan. Situasi ini membuktikan bahawa bangunan lama itu memang berpotensi untuk menjana sumber kewangan kepada negara ini jika diuruskan dengan berkesan. Masyarakat juga sudah mula matang dan menerima kepentingan kewujudan bangunan bersejarah sebegini. Namun, masih ada pihak yang suka memusnahkan warisan sejarah dengan pelbagai alasan yang menarik untuk difahami semua.
afamosa28ew Karangan SPM 15: Punca punca Bangunan Lama Terbiar Atau Dimusnahkan.
Salah satu punca yang mendorong bangunan bersejarah ini dimusnahkan ialah lokasi bangunan ini boleh dimajukan untuk sesuatu projek yang lebih menjana keuntungan seperti mendirikan projek perumahan atau membina pusat membeli-belah yang luas. Biasanya kawasan bangunan bersejarah ini menjadi kawasan perniagaan utama kerana peredaran masa menjadikannya begitu strategik untuk projek pembangunan pula. Pembinaan projek pembinaan moden mampu menjamin lebih banyak pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek kepada mana-mana pemaju projek tersebut. Jadi, faktor kawasan yang strategik menjadikan bangunan bersejarah sasaran utama pemaju untuk membina projek mereka lalu mengaut keuntungan dengan mudah.
Selain itu, faktor kekurangan sumber kewangan dan tenaga pakar untuk menyelenggarakan bangunan bersejarah juga menjadikan bangunan ini lebih sesuai dimusnahkan begitu sahaja. Kita semua sedia maklum pembinaan bangunan sebegini menggunakan bahan dan seni bina lama yang pastinya memerlukan penyelenggaran yang teliti dan professional sifatnya. Negara kita masih kekurangan pakar yang mampu memulihara semua bangunan lama ini ini selain kekurangan sumber kewangan daripada penderma-penderma hartawan untuk membiayai projek penyelenggaran sebegini mahal. Oleh itu, bangunan lama ini lebih sesuai dimusnahkan kerana kos menjaganya lebih tinggi daripada membina bangunan baru.
Bukan sahaja sumber kewangan yang tinggi dan lokasi yang strategik tetapi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya bangunan bersejarah juga masih belum menebal dalam jiwa masyarakat kita. Kalau kita hendak bandingkan dengan masyarakat luar negara, tahap kesedaran menjaga bangunan lama di negara ini masih agak rendah lantaran negara kita baru sahaja mengecap alam kemerdekaan berbanding negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat itu. Perasaan sebegini menyebabkan tahap penentangan terhadap kemusnahan bangunan lama begitu rendah sehingga ada bangunan lama dirobohkan tanpa masyarakat umum mengetahuinya. Jelaslah, kesedaran untuk menjaga bangunan lama masih lagi belum begitu tebal untuk menghalang bangunan ini terus menerus hilang dalam lipatan sejarah negara kita.
Malah, kekurangan akta perundangan yang ketat dan menyeluruh turut menjadikan kemusnahan bangunan lama di negara ini sesuatu yang lumrah sahaja. Pihak pemaju sudah mengetahui semua kelemahan dalam sistem perundangan yang berkaitan dengan bangunan lama lalu mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk memberi sedikit kelebihan kepada mereka pula. Tindakan mereka ini menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan mereka walaupun menyedari bahawa bangunan lama itu penting dan harus dikekalkan kewujudannya lantaran kelemahan sistem perundangan tersebut. Maka, kelemahan dalam sistem perundangan telah menjadikan masalah ini semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.
Konklusinya, semua punca yang dinyatakan itu telah menjadikan negara ini kehilangan bangunan bersejarah saban tahun. Kerjasama semua terutama pihak berkuasa untuk menghalang tindakan negatit ini amat penting. Kita tidak mahu generasi masa depan hanya mengenali sesuatu bangunan lama itu berdasarkan sekeping gambar sahaja tanpa melihat bukti yang sahih. Sejarah memaparkan budaya masyarakat lalu tanpa bangunan sebegini wujud tiadalah budaya sesuatu bangsa tersebut.

bayangkan gempa bumi berlaku di malaysia

Peristiwa yang melanda Jepun telah menyebabkan kita semua tertanya-tanya sama ada kejadian gempa bumi dan tsunami ini sudah menjadi satu kebiasaan pula dalam era ini. Satu demi satu kejadian gempa berlaku secara berturut-turut yakni di New Zealand dan kemudiannya di Jepun yang menyaksikan betapa ancaman gempa bumi ini sesuatu yang membahayakan. Ratusan ribu yang menemukan ajalnya dalam kedua-dua kejadian gempa ini harus menjadi satu peringatan kepada kita semua tentang betapa rapuhnya kehidupan yang kita alami sekarang.
Kejadian yang maha menakutkan itu membuktikan bahawa dunia kita memang sesuatu yang sukar untuk difahami. Dunia ini boleh meluahkan kemarahan mereka dengan begitu sahaja dan kemudian diam seketika sebelum meluahkan semula kemarahan mereka itu. Walaupun sudah ada kajian saintis yang boleh membuat ramalan itu tetapi kita memerlukan satu ramalan yang lebih tepat dan lebih lama yang membolehkan lebih awal sesuatu amaran diberikan kepada penduduk di mana-mana negara di dunia ini.
Kalau kita lihat kejadian gempa bumi ini memaparkan betapa pentingnya kita membuat persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh melanda sesebuah negara itu. Bayangkan Malaysia dilanda gempa bumi yang begitu hebat seperti di Jepun. Adakah negara kita mampu untuk menanganinya dengan baik? Bagaimanakah pula sistem amaran awal negara yang dahulunya heboh diperkatakan? Atau adakah pasukan penyelamat kita mampu untuk menangani sebarang kejadian yang berskala besar itu?

menulis perlukan latihan

Masih ramai yang tidak sedar bahawa untuk menulis anda kena banyak menulis. Hendak kaya kita mestilah rajin bekerja dan mencari wang. Samalah juga dengan menulis. Idea sahaja tidak cukup untuk menjadi penulis yang baik. Idea itu mestilah disesuaikan dengan kemahiran untuk menulis dengan baik.
Kemahiran menulis ini hanya boleh diperoleh dengan membuat latihan demi latihan sahaja. Pelajar hendaklah memilih satu tajuk dan menetapkan masa untuk menghabiskan latihan karangan itu. Setiap latihan yang dibuat pasti memberikan pelajar satu ruang untuk menilai dan membuat karangan itu menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang.
Jadi, pelajar harus merenung diri dan bertanya berapa banyak latihan yang sudah dilakukan selama ini?
Menulis Menulis Perlukan Latihan

mat rempit budaya kita

Isu Mat Rempit masih menjadi duri dalam daging di negara ini. Pelbagai pihak mempersoalkan punca masalah ini bersama-sama impak yang dibawanya lalu mencetuskan satu perbahasan hangat dalam media massa kita. Kenapakah Mat Rempit ini menjadi satu topik perbualan hangat masyarakat?
Sudah pasti umur Mat Rempit yang rata-rata di bawah 30 itu membimbangkan kita semua. Umur yang begini mudah seharusnya dihabiskan di pejabat, universiti dan sebagainya bukannya disia-siakan di jalan raya pula.? Belia kita lebih suka menikmati bunyi motosikal yang menderu-deru bising itu daripada menghasilkan kreativiti di bidang tertentu pula. Mungkin itu kreativiti yang remaja kita semua faham.
Kegagalan ibu bapa mendidik memang menjadi punca utama kemelut ini tetapi kita harus sedar masalah ini juga disebabkan kegagalan pihak berkuasa untuk menghargai remaja. Di manakah program khas untuk remaja di negara ini? PLKN? Adakah PLKN sudah cukup? Tanpa wujudnya satu program khas remaja kita akan hidup tanpa matlamat atau visi yang sejajar dengan kemodenan negara kita.
Mungkin sudah sampai masanya kita semua sedar bahawa kewujudan Mat Rempit membuktikan negara kita sudah tersilap dalam merangka dasar untuk remaja sendiri. Kita perlu merenung jauh dan mencari jalan untuk memastikan remaja kita tidak menghabiskan masa dengan berlumba di jalan raya. Kita tidak mahu remaja kita membunuh mereka yang tidak berdosa sedangkan Mat Rempit terus hidup untuk meneruskan perjuangan mereka menjadi raja di jalanan itu.
Hairannya, kita pakar Mat Rempit tapi kita masih gagal melahirkan juara dunia dalam kejohanan motosikal dunia pula. Ganjil.

masalah sosial di negara kita

Sejak kebelakangan ini, isu yang berkaitan dengan masalah sosial di kalangan remaja berleluasa. Secara umumnya, masalah sosial dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kini. Perlakuan ini sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah kepada remaja. Perlakuan negatif ini sebenarnya terdiri daripada punca-punca masalah yang dihadapi oleh remaja tersebut. Selain itu, pelbagai langkah juga diambil untuk mengatasi masalah gejala sosial ini.
Antara punca-punca yang terlibat, punca yang pertama ataupun dikenali sebagai punca utama adalah masalah keluarga. Cara ibu bapa dalam pemberian asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan terhadap anak mereka menyebabkan mereka menjadi kurang menghormati warga-warga yang lebih tua daripada mereka dan melibatkan diri mereka dalam perbuatan-perbuatan yang negatif seperti perlumbaan haram dan rempit. Kanak-kanak yang lahir daripada keluarga yang mewah ataupun keluarga yang memanjakan anak mereka kebanyakkan terlibat dalam penagihan dadah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang kaya ataupun mewah biasanya akan memanjakan anak-anak mereka dengan memberi kelonggaran serta wang saku yang banyak. Kanak-kanak ini akan cuba dadah kerana perasaan ingin tahu mereka yang kuat akan menyebabkan mereka cuba dadah ini untuk memenuhi perasaan kehendaknya. Setelah mencuba dadah ini, mereka akan ketagihan ddan akhirnya mereka menjadi penagih dadah.
Akibat yang seterusnya merupakan pengaruh daripada persekitaran. Pada zaman globalisasi kini, perkembangan teknologi yang kian pesat ini menyebabkan pelbagai ?jenis maklumat boleh didapati daripada laman web. Hal ini mengakibatkan pelbagai jenis maklumat yang kurang sihat disebar degan berleluasa tanpa kawalan. Persekitaran ini menyebabkan remaja kini ?terikut-ikut dengan pengaruhnya. Seterusnya, maklumat kurang sihat ini menjadi punca keruntuhan moral di kalangan remaja. Selain itu, buku-buku picisan serta lucah yang terdapat dari pasaran akan mempengruhi tindakan dan perilaku remaja. Penggunaan perkataan lucah serta grafik akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap permikiran pembacanya.
Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja dilaksanakan. Justeru, strategi untuk mengatasi masalah sosial ini ditumpukan pada golongan remaja dan pelbagai langkah diambil oleh semua pihak bagi mengatasi masalah sosial ini.
Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam pemberian pemerhatian yang serius terhadap kanak-kanak mereka. Pemerhatian dibuat atas setiap gerak-geri ataupun pergerakan anak-anak mereka. Mereka juga dinasihatkan untuk mengenal pasti serta mengetahui masalah yang dihadapi bukan saja mengenal pasti dan mengetahui masalah yang dihadapi olej anak-anak mereka tetapi juga meluangkan masanya bagi mengatasi masalah anak-anak mereka.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian diadakan untuk mengatasi masalah sosial ini. Contohnya, bimbingan kaunselling di peringkat sekolah. Bimbingan kaunselling di peringkat sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam membantu remaja untuk mentelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Program ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakkan dan berpengalaman dilantik bagi memantapkan perlaksanaan serta keberkesanan kaunselling tersebut.
Selain itu, pendekatan akademik juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah sosial yang dilibatkan oleh golongan remaja. Pendekatan akademik ini dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti yang berteraskan akademik serta separa akademik contohnya, kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah. Selain itu, perubahan-perubahan teknik-teknik pelajaran dilakukan seperti perlaksanaan kelas komputer, kelas bantuan alat pandang dengar dan lai-lain.
Kesimpulanya, pelbagai langkah diambil untuk mengatasi masalah sosial ini, tetapi yang paling penting adalah ibu bapa haruslah memainkan peranan dan tanggungjawab ke atas keruntuhan ahklak di kalangan remaja. Dengan kata yang lain, walau apapun langkah yang diambil oleh pihak yang lain sekiranya tiada kerjasama daripada ibu dan bapa gejala tersebut sukar diatasi.