Sunday, October 2, 2011

pantun teka teki

pantun teka teki dapat meningkatkan kemahiran kanak -kanak untuk berfikir jawapan teka teki yang yelah diberikan.pantun ini terdapat di blog www.seloka melayu.blogmas.com


Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang jemurkan pala,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa ekor di kepala? → gajah
 
Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan padi,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa bertanduk di kaki. → ayam jantan
 
Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan pulut,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa tanduk di mulut. → nyamuk
 
Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka. → ikan pari
 
Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
makin diisi makin ringan. → belon
 
Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu,
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan tulangnya satu. → sotong
 
Bukan kerang atau siput,
berkaki bertangan bukannya kompot,
Terkelip-kelip duduk terseliput,
Merayap sepanjang di paya di rumput. → ?
 
Berdengung bukannya kumbang,
Berbelalai bukannya gajah,
Kelam kabut saja terbang,
Hampir kepada kaum bernyawa. → lebah/penyengat/lalat
 
Diukur dijangka-jangka,
Burung merak burung angkasa,
Dengar tuan saya meneka,
Layang-layang gagah perkasa. → kapal terbang
 
Pak Pong Pak Mustafa,
Encik Dollah di rumahnya,
diadun tepung dengan kelapa,
Gula Jawa di tengahnya. → kuih melaka/ lompang
 
Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga sipucuk rebung,
Kalau tuan bijak bestari,
Apa binatang tanduk di hidung. → badak sumbu
 
Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya. → buah gajus
 
Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya si gula batu,
Kalau tuan orang yang pandai,
Apa binatang tulangnya satu. → sotong
 
Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu? → mayat/jenazah
 
Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah,
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah. → cili api/lada besar
 
Ada sebiji roda pedati
Bentuknya bulat daripada besi
Bila bermain diikat sekuat hati
Dilempar hidup dipegang mati? → gasing
 
Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai? → buah melaka, buah hati
 
Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya? → kilat di langit
 
Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu? → jarum
 
Jika tuan membeli tikar
Tikar anyaman dari mengkuang
Kalau tuan bijak pintar
Ular apa membelit pinggang? → tali pinggang
 
Pokoknya bulat dan juga rendang
Masam dan hijau ketika muda
Buahnya berbentuk seperti bintang
Sudah masak, kuninglah ia. → belimbing
 
Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi? → tangga
 
Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam? → kelambu
 
Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara? → gergaji
 
Jika ke kedai pergi berbelanja
Belikan saya sudu dan senduk
Jika pandai katakan ia
Semakin berisi semakin menunduk? → padi
 
Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau Tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala? → ketam
 
Pisau lipat dimainnya kera
Tangannya luka lalu terjun
Makan kuat tidak terkira
Kenyangnya tidak tahi bertimbun? → api
 
Minah ketawa terjerit-jerit
Melihat koyak pada seluar
Orang putih duduk sederet
Pagar di dalam tebing di luar? → gigi
 
Tuan puteri belajar menari
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau Tuan bijak bestari
Apa yang naik tak pernah turun? → umur
 
Buah cermai di dalam lubang,
tepung digaul minyak sapi,
Anaknya ramai ibunya seorang,
Bila digesel berapi-api? → mancis
 
Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun-temurun,
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun? → payung
 
Mari kita makan ke kebun,
Bawa guni isikan padi,
Mari kita berlawan pantun,
Bawa menyanyi menyukakan hati.
 
Sorong papan tarik papan,
Papan kemudi dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh menyanyi saya tak tahu.
 
Tanam ubi tanam keledek,
Keladi birah di tepi tangga,
Kita menyanyi adik beradik,
Kalau salah tidak mengapa.
 
Gugur, bacang gugur!
Jangan timpa putik pauh,
Tidur bujang tidur,
Jangan ingat adik yang jauh.
 
Basah padi ladang.
Basah dalam air,
Susah hati abang,
Adik hilang balik tabir.
 
Ikan siakap ikan senohong,
Ikan gelama ikan duri,
Kalau orang bercakap bohong,
Lama-lama dia mencuri.
 
dipetik : Puisi Melayu Tradisi

keburukkan berjalan seorang diri

kini terdapat pelbagai kes akibat berjalan seorang diri.kes ini selalunya dialami oleh kaum wanita.karangan ini diperoleh daripada blog www.resepiku.com.


Prof Dr Zainudin Arifin dalam berita yang disiarkan oleh BH hari ini memberikan beberapa tip untuk mengelakkan kecederaan serius jika individu terkena simbahan asid. Kata beliau:

"Mereka seharusnya keluar dan pergi bekerja seperti biasa dan pada masa sama mereka hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak dilakukan," katanya hari ini. 

Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia. 

"Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku. 
"Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan," katanya. 

Beliau berkata, jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.


"Jika dalam keadaan paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya," katanya.


CARA MENGELAKKAN DIRI DARI SERANGAN SIMBAH ASID

Awas dengan lelaki ini yang disyaki melakukan serangan asid. Masih bebas dan telah melakukan serangan asid keatas 23 mangsa di kawasan Lembah Klang. Anda mungkin mangsa seterusnya. Berhati-hati.


Macam mana nak memastikan bahawa diri anda (terutamanya wanita dan gadis-gadis) selamat dan terhindar daripada serangan asid yang mungkin akan memusnahkan kecantikan  selama-lamanya. Bertindak sebelum terlambat.

1. Sentiasa berjalan ke arah lawan traffik. Suspek tak kan menyerang mangsa dari belakang sebab dia mudah dilanggar oleh kenderaan lain. Dan berjalan melawan arah jalan juga dapat membolehkan korang melihat individu yang mencurigakan.

2. Jangan berjalan berdekatan dengan jalan. Seboleh-bolehnya elakkan diri korang dari berjalan berdekatan dengan jalan kerana mudah suspek mejadikan korang sebagai sasaran. Pilih jalan di kawasan yang ramai orang.

3. Bawa dan pakai payung selalu. Payung boleh dijadikan sebagai pelindung dari terkena simbahan asid dan juga senjata korang paling efektif bila dalam situasi yang berbahaya. Lagipun sekarang ni kan cuaca tengah panas.

4. Pakai pakaian berlapis. Cara ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kulit anda daripada terkena cecair asid.

5. Jangan keluar tanpa sebab. Tak payah nak chill out jalan-jalan tanpa tujuan buat masa ini. Duduk rumah belajar masak lagi bagus.

6. Elakkan daripada berjalan seorang diri di kawasan yang sunyi. Tak apa kalau jalan jauh dan ramai orang, asalkan diri korang selamat. Cara ini juga dapat mengelakkan korang dari kena ragut, pau dan serangan seks.

7. Sentiasa bawa air botol. Air adalah rawatan paling berkesan untuk menghilangkan asid yang terkena pada kulit. Basuh menggunakan air di anggota yang terkena simbahan sebagai rawatan awal. Air dengan jumlah yang banyak sangat diperlukan jika terkena simbahan asid. 

8. Pakai sun-glass mata lalat. Tahukan cermin mata gelap nih, bulan tahu kebanyakan perempuan memang ada cermin mata jenis nih. Pakai untuk melindungi mata anda dari terkena simbahan asid.

9. Laporkan mana-mana individu yang mencurigakan kepada pihak polis. Jika ternampak individu yang mencurigikan seperti di atas (gelap dan menunggang motosikal), ingat nombor plat dan laporkan kepada pihak polis secepat mungkin. Sekarang ini, polis dah buat unit khas untuk mengesan suspek.

10. Sentiasa berwaspada walau apa jua situasi. Ingat, bahaya di mana-mana.


kebaikan dan keburukan bermain prmainan komputer

Kesimpulannya,selain menggunakan komputer untuk pelajaran kita juga boleh memanfaatkannya untuk bermain permainan komputer.terdapat kebaikan bermain permainan komputer.karangan ini diperoleh daripada blog www.shvoong.com.


Kanak-kanak pada masa kini menggunakan kebanyakan masa mereka untuk bermain permainan komputer. Ia merupakan sejenis hiburan yang bagus tetapi ia juga akan membahayakan kesihatan kita. Bermain permainan komputer mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri.

Apabila kanak-kanak bermain permainan yang berasaskan pendidikan, mereka dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan. Jika mereka bermain permainan aksi, tindak balas mereka akan menjadi lebih pantas. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak boleh bermain permainan berasaskan kekeluargaan. Bermain permainan komputer juga merupakan salah satu kaedah untuk mengatasi tekanan.

Sebaliknya, permainan komputer akan membahayakan kesihatan kita. Banyak kanak-kanak mengalami kecanduan terhadap permainan komputer. Mereka menghabiskan sepanjang hari di hadapan komputer atau alat permainan. Mata mereka akan dirosakkan. Orang yang mengalami kecanduan biasanya tidak berhubung dengan keluarga mereka dan mereka akan lebih mudah terjebak ke dalam benda yang lain seperti dadah.

Kesimpulannya, terdapat kedua-dua kebaikan dan keburukan bermain permainan komputer. Saya berasa kebaikannya akan melebihi keburukannya sekirannya kita mengetahui cara-cara menggunakan permainan dengan baik.


Source: http://ms.shvoong.com/internet-and-technologies/gaming/2085629-kebaikan-dan-keburukan-bermain-permainan/#ixzz1ZbpqXEz9

tipu diri sendiri

tipu kepada diri sendiri berpunca daripada kita yang malas hendak melakukan ibadat kepada yang ISA.syaitan lah pendorong dan dia sangat suka kepada umat islam yang tidak menyembah kepada ALLAH.oleh demikian timbullah isu mengenai tyipu diri sendiri.karangan ini diperoleh daripada blog www.saifulislam.my.


“Uih, panasnya!”, keluh Amin setibanya di rumah.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Lewat benar Amin tiba di rumah. Maklum sahaja, jalan raya petang-petang Ramadhan ini memang sibuk. Mengharungi lautan kereta memang menjemukan, tambahan pula di bulan puasa ini.
“Baik aku mandi dulu. Bagi segar sikit badan”, monolog Amin.

Sementara menanti waktu berbuka, anak muda ini masuk ke bilik air untuk menyegarkan tubuhnya yang lesu dan kepanasan.
“Arghhh… sedapnya”, Amin begitu menikmati siraman shower mandian beliau.
Tiba-tiba, gulp!
Air dari shower termasuk ke dalam mulut Amin. Air yang sejuk dan enak itu. Sudah berada di dalam mulutnya, di pinggir tekak yang kering, derita dan lesu dek bahang mentari Ramadhan.
TELAN ATAU LUAH
Kalaulah anda menjadi Amin, apakah anda akan menelan air itu?
Air itu bukan di dalam gelas, tetapi entah bagaimana, ia sudah berada di dalam mulut.
“Rezekikah ini?”, tanya Amin kepada dirinya.
“Masakan bukan rezeki, kalau sudah duduk di dalam mulut!”, sambungnya lagi.
Tetapi Amin teringat, bahawa rezeki bukan hanya soal rezeki. Dalam hidup ini, apa yang dicari adalah REZEKI yang HALAL. Rezeki itu keperluan… bahagian untuk diri. Halal itu tujuan… hak Allah sebagai matlamat ibadah kita.
Amin tidak menelan air yang sudah separuh jalan menjadi rezekinya itu kerana air itu tidak halal. Amin berpuasa. Memang tiada siapa yang nampak kalau Amin menelannya sahaja. Tetapi Allah nampak. Jika Amin menipu, dia sebenarnya menipu Allah dan memperbodohkan dirinya sendiri!

“Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah khusus untukKu dan Akulah yang menetapkan ganjarannya semahuKu” [Hadith al-Bukhari ]
Di dalam puasa, Amin dan anda tidak tergamak untuk menelan air itu.
DI BILIK PEPERIKSAAN
Bagaimana jika di bilik peperiksaan?
Ditakdirkan, anda duduk di belakang pelajar terbaik. Soalan yang anda terima amat sukar untuk dijawab. Buntu fikiran mencari jawapannya. Tiba-tiba kertas jawapan pelajar terbaik itu terjuntai keluar dan terhidang di depan mata anda.
Apakah anda mahu menjamah ‘rezeki’ itu?
“Err, bukan aku cari, tapi dia datang!”, bijak hati berkata-kata mencari alasan.
Jika di dalam puasa, Amin dan anda tidak tergamak menjamah rezeki yang bukan hak diri, mengapa pula di bilik peperiksaan sikapnya berbeza? Mengapa jika ditelan air itu terasa bodoh, tetapi jika ditiru jawapan pelajar terbaik itu, boleh terasa pandai pula?
Bahkan apabila masuk ke alam pekerjaan, mengapa kita hilang sensitiviti terhadap rezeki? Puasa tak sanggup tipu Tuhan, tapi kalau hasil kerja, biasalah!
Inilah penyakit kita. Penyakit ‘kumpulan pemisah’ yang memisahkan antara solat dan puasa dengan peperiksaan dan kerja. Antara bilik darjah dan masjid rumah Allah. Seolah-olah selesai solat subuh semasa melipat sejadah kita berkata, “Ok Allah, jumpa lagi zohor nanti ya!”. Terlipat sejadah, selesai hubungan dengan Allah SWT.
Ia adalah cabang paradigma sekularisma.
Kelakuan seperti ini sudah menjadi suatu kebiasaan sehingga ia semacam sudah tidak relevan untuk disebut. Bahkan yang sanggup bersusah payah kerana enggan meniru itu pula yang dianggap ganjil dan tidak normal.
Meniru sudah jadi kebiasaan sehingga ia melekat sebagai tabiat kepada sesiapa sahaja. Yang beragama, yang biasa-biasa, pelajar bidang agama atau apa sahaja, meniru sudah secara senyapnya diterima.
MENIRU DALAM PEPERIKSAAN
Inilah yang sering saya pesankan setiap kali berprogram bersama pelajar sekolah atau universiti. Meniru di dalam peperiksaan harus dihindarkan.
Saya tidak berhajat untuk menjustifikasikan perbuatan itu dari segi hukum syara’ kerana segalanya jelas. Mengambil manfaat dari usaha orang lain itu adalah kebatilan yang dicegah Islam di dalam konteks muamalah kita sesama manusia.

“Barangsiapa yang tidak berlaku jujur (meniru) maka bukanlah (dia itu) dari kalangan kami” [Hadith riwayat Al-Bukhari]
Tetapi apa yang saya mahu, adalah untuk mengingatkan para pelajar supaya menyimpan maruah dan harga diri mereka.
Save your dignity!
Orang yang biasa meniru di dalam peperiksaan ini rendah harga dirinya. Dan kerendahan harga dirinya itu bakal memberikan implikasi yang pedih di masa hadapan.
Apabila saya menjadi bapa, saya mahukan laporan dan keputusan peperiksaan anak saya itu telus. Biar keputusan itu bodoh rupanya, supaya kebodohan itu boleh diajar. Tetapi saya tidak sanggup membayangkan anak saya memberikan keputusan peperiksaan yang palsu supaya dia kelihatan pandai, kerana hakikatnya dia memperbodohkan saya.
TIDAK PERNAH MENIRU
Syukur Alhamdulillah… semenjak hari pertama saya menjejakkan kaki ke bangku sekolah hinggalah ke hari ini, saya TIDAK PERNAH meniru di dalam peperiksaan. Tidak pernah walaupun sekali.
Keputusan peperiksaan saya ada pasang surutnya. Kerana tidak meniru, ada masanya saya mengalami kemunduran. Tetapi kemunduran itu menghasilkan pengajaran dan ia menyumbang kepada pembaikan di masa depan. Failing Forward kata John C. Maxwell.
Hari ini, saya boleh mengajar anak-anak saya dan anak orang lain, tentang peri pentingnya berlaku jujur kepada diri sendiri dan menjauhkan diri dari perbuatan meniru… tanpa ada rasa terkilan atau malu. Saya tidak perlu menyembunyikan dalam diri perasaan khianat kerana bercakap apa yang saya tidak buat.
Sesungguhnya seorang lelaki hanya mampu berdiri dengan harga diri. Biar miskin harta, jangan miskin jiwa.
Meniru dan menipu diri sendiri, adalah salah satu cara untuk menghina diri.
Pilihlah mana yang berkenan di hati.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Saifulislam.Com kini dihoskan di sebuah Dedicated Server. Sumbangan anda untuk membiayai kos operasinya amat dialu-alukan. Jazakumullahu khayr al-jazaa'





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2011)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

renung-renungkanlah..........

keburukan menghisap rokok

menghisap rokok amat membahayakan kesihatan kita.ia dapat melemahkan jantung kita,malah kita akan mendapat pelbagai penyakit seperti ksnser jantung.karangan ini diperoleh daripada blog www.google.com.


Walaupun kesan buruk merokok telah di ketahui ramai namun,bilangan perokok di seluruh dunia tidak melihatkan banyak  penurunan...rakyat negara maju dicatatkan semakin kurang merokok dan perokok di negara membangun pula semakin meningkat...
*Amerika syarikat menurun 50%...bilangan perokok pada 1965 (42%) dan menurun menjadi (20.8)pada    tahun 2006
 
  Dianggarkan 1.1 billion perokok  seluruh dunia mengisap 5.5 trilion batang rokok yang dihasilkan setiap tahun...

  Asia tenggara mancatatkan 44%lelaki dan 14% wanita yang merokok....
*Rakyat China pula penghisap rokok yang terbenyak iaitu 1.64 trilion batang rokok berbanding Amerika Syarikat yang hanya 451 billion batang rokok setahun

                              

Mengapa tembakau dan merokok menjadi isu utama?

  • Tembakau adalah satu-satunya bahan pengguna yang dibenarkan di sisi-sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan ketagihan dan membunuh separuh dari penghisapnya
  • Asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia beracun
  • Lebih kurang 63 dari bahan kimia tersebut boleh menyebabkan barah

                             

Apakah jenis-jenis bahan merokok dari tembakau?

Merokok boleh dalam bentuk berikut :
  • Rokok
  • Cerut
  • Tembakau paip
  • Seesha

                       

Adakah terdapat data mengenai kesan merokok di Malaysia?

  • Lebih kurang 50% lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perokok
  • Lebih kurang 20% remaja adalah perokok
  • 85 % remaja akhirnya menjadi ketagih kepada rokok
  • Dianggarkan 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok

Apakah yang menyebabkan ketagihan rokok?

  • Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan seperti juga heroin dan kokain
  • Menghisap rokok berulang kali boleh menyebabkan ketagihan

Mengapa merokok merbahaya?

Merokok merbahaya kerana :
  • Tembakau mempunyai hubungkait yang rapat sebagai penyebab penyakit seperti barah dan penyakit jantung
  • Boleh terjebak dalam penyalahgunaan dadah

Bagaimana merokok itu membahayakan?

  • Asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 jenis bahan kimia beracun
  • Lebih kurang 63 dari bahan kimia di atas boleh menyebabkan barah

Adakah kesan buruk merokok hanya tertumpu kepada perokok atau juga orang lain?

Ya, orang lain boleh menjadi perokok pasif secara tidak langsung jika :
  • Terhidu asap yang keluar dari perokok. Kesan yang tidak diingini adalah sama iaitu penyakit lelah, penyakit jantung dsb.

Apakah bahan kimia yang merbahaya dalam asap rokok?

Daripada 4000 bahan beracun dalam asap rokok, yang biasa dikenali adalah seperti berikut :
  • Tar (bahan untuk membuat jalan raya)
  • Ammonia (bahan dalam pencuci lantai)
  • Napthylamine (ubat gegat)
  • Arsenik (racun anai-anai)
  • Nicotine (bahan yang boleh mendatangkan ketagihan)
  • Kadmium (terdapat dalam bateri)
  • DDT (Ubat nyamuk)
  • Formaldehyde (untuk mengawet mayat)
  • Butane (gas yang boleh membunuh)
  • Methanol (Bahan pembakar untuk roket)
  • Hydrogen cyanide (racun)
  • Toluene (bahan pelarut)
  • Carbon Monoxide (gas beracun)

Apakah penyakit yang membawa maut dan dikaitkan dengan tabiat merokok?

  • Penyakit saluran pernafasan: lebih 10-20 kali ganda
  • Barah paru-paru: lebih 10-15 kali ganda
  • Barah payudara: lebih 11 kali ganda
  • Barah hidung dan tekak: lebih 5-15 kali ganda
  • Barah mulut: lebih 3-15 kali ganda
  • Barah saluran makanan : lebih 4-5 kali ganda
  • Sakit Jantung: lebih 1.5-3 kali ganda
  • Barah Buah Pinggang: lebih 1.5-3 kali ganda
  • Ulser Perut: lebih 2 kali ganda
  • Angin Ahmar: lebih 2-3 kali ganda

Adakah perokok pasif kurang bahaya?

Tidak, ianya lebih merbahaya kerana :
  • Berbanding dengan asap yang dihisap oleh perokok, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi :
    • 2 kali ganda nikotin
    • 3 kali ganda tar
    • 5 kali ganda karbon monoksida
    • 50 kali ganda bahan kimia merbahaya

Adakah undang-undang dan peraturan berkaitan merokok?

Ya, adalah menjadi kesalahan jenayah bagi remaja untuk merokok, membeli rokok atau memiliki bahan yang dihasilkan dari tembakau.
Merokok adalah dilarang di tempat-tempat awam seperti berikut :
  • Sekolah
  • Hospital dan klinik
  • Bangunan-bangunan kerajaan
  • Lif
  • Kapalterbang

Bila merokok dianggap sebagai ketagihan?

  • Seseorang mengalami rasa tidak selesa dan ketagih untuk merokok apabila tidak merokok
  • Di antara tanda-tanda ketagihan adalah :
    • Tanda fizikal :
      • Gelisah
      • Menggeletar
      • Degupan jantung lebih laju
      • Pernafasan cetek / tidak dalam
    • Corak pemikiran :
      • Gian untuk menghisap rokok
      • Berasa risau, gelisah dan bimbang
      • Tidak boleh menumpukan perhatian
    • Corak Emosi :
      • Mudah marah
      • Mudah runsing
      • Rasa bimbang
      • Gelisah
    • Pola kelakuan :
      • Kehadiran ke sekolah merosot dan kurang disiplin
      • Tercicir dari sekolah
      • Perubahan sikap dan tingkah laku
      • Terlibat dalam kegiatan jenayah seperti mencuri untuk membiayai tabiat merokok

Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?

  • Mempunyai kedua-dua kesan jangka pendek dan jangka panjang
  • Bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok boleh merosakkan beberapa organ dalam tubuh badan kita.

Apakah kesan-kesan jangka pendek?

Otak Pembebasan gas karbon monoksida dan pengurangan oksigen menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya
Telinga  - Mengurangkan kadar pengaliran darah boleh menyebabkan pekak

Mata -
Mata berair, radang mata yang boleh mengganggu daya penglihatan

Mulut  - 
Mengalami deria rasa yang tidak sedap pada bibir,lidah dan tekak
          - 
Nafas berbau dan mendapat jangkitan mulut
             -  
Gigi menjadi kuning

Hidung -
Mengurangkan deria bau

Kulit 
Mengurangkan suhu badan, kulit muka cepat berkedut

Paru-paru -
Kesukaran untuk bernafas dan mengurangkan tenaga untuk bersukan

Apakah kesan-kesan jangka panjang?

  • Barah (cth. paru-paru, payudara, mulut, tekak, dan usus)
  • Penyakit Jantung
  • Angin Ahmar / Strok
  • Penyakit paru-paru (cth. Penyakit lelah, bronkitis)
  • Penyakit mulut dan gusi
  • Ulser (perut, peptic)
  • Osteoporosis
  • Kemandulan (tidak boleh hamil)
  • Kurang bernafsu dalam perhubungan seks
  • Mati pucuk

Selain membahayakan kesihatan diri, apakah keburukan merokok yang lain?

Merokok juga boleh mencemarkan persekitaran
  • Puntung rokok yang dibuang merata-rata boleh mencemarkan persekitaran seperti mengakibatkan longkang tersumbat yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes
  • Menyebabkan pencemaran udara
  • Perokok pasif (Menyedut/menghidu asap rokok dari orang lain yang merokok), juga boleh menyebabkan penyakit lelah di kalangan kanak-kanak
  • Menyumbang sebanyak 25% kepada kes kebakaran

Apakah baiknya berhenti merokok?

  • Pernafasan bertambah baik
  • Stamina meningkat
  • Lebih sihat
  • Lebih diterima oleh masyarakat
  • Mengurangkan bahaya merokok terhadap kesihatan
  • Melindungi orang lain dari bahaya merokok
  • Menjimatkan wang
  • Melindungi persekitaran

Mengapa susah untuk berhenti?

  • Nikotine dalam tembakau menyebabkan ketagihan
  • Kesan merokok yang menyeronokkan (contoh : merasa lebih segar dan tidak mengantuk) adalah kesan serta merta tetapi tidak lama (lebih segar , degupan jantung bertambah)
  • Merasa letih dan murung apabila tidak merokok
  • Merasa gelisah dengan gejala gian yang lain
  • Mengatasi gian dan keinginan merokok

Bagaimana cara berhenti merokok?

  • Menyedari anda mepunyai masalah.
  • Membuat keputusan.
  • Menetapkan tarikh berhenti merokok.
  • Elakkan pengaruh untuk merokok.
  • Minta bantuan dari rakan anda.
  • Cari aktiviti yang lebih baik untuk dilakukan.
  • Rancang hari hari tidak merokok anda.
  • Bina keyakinan diri.
  • Buat peringatan bertulis mengingatkan anda untuk berhenti merokok / diari berhenti merokok


Petua mengatasi keinginan merokok.

  • Tarik nafas panjang
  • Minum air
  • Membuat kerja lain
  • Mengunyah sesuatu (seperti gula getah)
  • Mandi
  • Basuh tangan
  • Senaman ringan ( contoh : regangan)
  • Sembahyang / meditasi

 Mengapa anda perlu berkata "Tidak"?
Adalah penting berkata "Tidak" kepada merokok sebelum ia menjadi tabiat atau menjadi ketagih.

Bagaimana anda berkata tidak kepada merokok?

  • Jika semua rakan anda merokok dan anda tidak mahu seperti mereka, adalah susah untuk mengatakan "tidak", tetapi menjadi orang yang tidak merokok adalah hak anda.
  • Tiada seorang pun yang mahu disisihkan, tetapi kesihatan anda adalah lebih penting.
  • Strategi yang berlainan mungkin sesuai untuk orang yang berlainan.
  • Sesetengah orang merasa mudah menyatakan tidak tanpa memberi penjelasan. Orang lain pula berpendapat memberi penjelasan lebih baik (cth."Saya tidak mahu merokok" atau "Pakcik saya mati disebabkan merokok")
  • Jika anda tidak selesa untuk berkata tidak kepada kawan-kawan anda, minta ibubapa anda atau orang dewasa lain membantu anda mengatakan tidak.
  • Mungkin seorang remaja boleh berkata "Bapa saya tidak membenarkan saya merokok" "Jurulatih bolasepak saya akan membuang saya dari pasukan jika saya merokok" .
  • Yang penting anda perlu bertegas bila berkata "tidak" tanpa melukai hati/perasaan orang lain.

Bagaimana anda bertegas diri?

  • Nyatakan pendirian anda. Beritahu mereka bahawa anda tidak berhajat untuk merokok.
  • Nyatakan alasan anda. Beritahu mereka alasan anda mengapa tidak merokok.(contoh: merokok membahayakan kesihatan saya).
  • Saling memahami. Biarlah orang lain tahu yang anda memahami perasaan orang lain.

Bagaimana anda menyampaikan keputusan anda?

  • Gunakan kemahiran tanpa lisan yang betul. (ekspresi muka, gaya badan dsb.)
  • Berikut beberapa panduan/petua untuk anda menjadi lebih tegas.
    • Kelantangan suara. Jangan berbisik atau bercakap tidak jelas. Bercakap dengan nada suara yang jelas dan meyakinkan.
    • Kontak mata. Jangan memandang ke tempat lain apabila bercakap dengan seseorang. Pandang terus ke mata seseorang semasa bercakap
    • Ekspresi muka . Pastikan ekspresi muka anda bersesuian dengan apa yang anda perkatakan.(contoh jangan senyum ketika anda hendak memberitahu yang anda marah).
    • Jarak. Tentukan jarak yang sesuai apabila anda bercakap dengan seseorang. (sebagai contoh, berada dijarak yang jauh jika anda hendak beredar atau berada dijarak yang dekat untuk menimbulkan kemesraan.

Bagaimana mengatakan "Tidak"?

Teknik Contoh
  • "Tidak" yang mudah
  • "Tidak" atau "Tidak, terima kasih."
  • Beritahu yang benar
  • "Tidak, terima kasih, saya tidak merokok"
  • Beri alasan
  • "Tidak, terima kasih, saya perlu pergi segera ke tempat lain."
  • Menukar subjek perbualan
  • Katakan "tidak" dan teruskan bercakap perkara lain
  • "Tidak, terima kasih. Hey. Anda tengok perlawanan malam tadi tak?"

SASARAN INDUSTRI TEMBAKAU

Pengenalan

  • Seramai 8,000 perokok diseluruh dunia mati setiap hari akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.
  • Untuk mengekalkan keuntungan, industri tembakau perlu mencari perokok baru bagi menggantikan mereka yang telah mati.
  • Usia muda merupakan sasaran yang tepat.
  • Sekiranya remaja mula merokok, peluang untuk mereka terus mengekalkan tabiat merokok sehingga dewasa adalah tinggi.


Apakah matlamat industri tembakau?

Menipu dan memutarbelitkan masyarakat supaya merokok.
Terutamanya kanak-kanak dan belia. Belia yang ketagihan merokok,
akan menggantikan perokok dewasa yang telah berhenti merokok atau meninggal dunia.



Bagaimana industri tembakau mempengaruhi anda supaya merokok?

Strategi industri tembakau adalah seperti berikut :
  • Lebih matang dan dewasa
  • Canggih
  • Riang
  • Bergaya
  • Tenang
  • Diterima ramai

Menjadikan rokok :
  • Mudah diperolehi
  • Boleh dibeli dengan harga yang murah
  • Boleh dibeli dengan satu batang rokok sahaja

Meyakinkan bahawa rokok boleh membantu anda :
  • Menikmati keseronokan yang lebih
  • Merasa lebih tenang

Menyembunyikan fakta sebenar bahawa rokok :
  • Mendatangkan ketagihan
  • Membahayakan kesihatan anda
  • Menyebabkan kematian lebih awal dari sepatutnya

Melalui promosi rokok, menarik belia menghadiri :
  • Konsert / panggung wayang
  • Majlis / perjumpaan sosial
  • Papan iklan
  • Media bercetak/ media elektronik


Bagaimana untuk mengelak dari dipengaruhi industri tembakau?

Adakah anda rasa marah?
Adakah anda berminat untuk mendapat maklumat lanjut dan terkini mengenai strategi industri tembakau?
Adakah anda ingin membuat sesuatu untuk mengubah keadaan?
Adakah anda ingin meluahkan rasa tidak puas hati anda?
Adakah anda bersedia untuk bertindak?
  • Jika ya, anda perlu memperkasakan diri anda
    • Bagaimana?
    • Disini, disenaraikan kaedah bagaimana menyalurkan kemarahan anda
      • Jadilah penggerak "Anti-Tembakau" di kalangan remaja
      • Suarakan pendapat anda
      • Ketahuilah, sekiranya anda bersatu menentang pengaruh industri
      • Berinteraksilah atas talian (on-line)


menghargai ibu dan bapa

pada pendapat saya,menhargai ibu dan bapa adalah tanggungjawab semua anak.kita mstilah menghargai mereka kerana mereka yang menjaga kita daripada kecil hingga dewasa.karangan ini diperoleh daripada blog www.blogspot .com

KITA baru sahaja menyambut Hari Ibu dan memang ibu adalah ratu.

Banyak sumbangan daripada seseorang bernama ibu. Sempena sambutan itu, kita mendengar di radio dan TV serta akhbar anak yang prihatin memberi ucapan selamat untuk ibu. Pelbagai jenis perkataan mendatar dan penuh simbolik sarat dengan perasaan dan air mata. Namun, menghargai ibu bapa bukan hanya dengan perkataan sekali setahun tetapi tindakan dan perbuatan selaras dengan ungkapan. Ia disebut adab.

Antara adab sopan yang melambangkan penghargaan kepada ibu bapa ialah:

  1. Anak mestilah mendengar nasihat ibu bapa ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Sebagai anak kita tidak boleh bercakap kasar dan meninggikan suara kepada ibu bapa.
  2. Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa paling kurang berdoa sebanyak lima kali sehari selepas solat fardu.
  3. Menjaga kebajikannya seperti makan minum dan kesihatan ibu bapa sepatutnya memberi belanja bulanan ikut kemampuan kita apatah lagi jika mereka miskin. Bagi ibu bapa yang mampu, pemberian itu satu penghargaan.
  4. Anak-anak jangan menyanggah atau menentang ibu bapa. Layani dan hormat mereka dengan bahasa yang baik dan bersopan santun. Ini mengelak diri daripada menyakiti hati ibu bapa. Hanya satu perkara boleh ditentang, jika ibu atau bapa itu menentang ajaran agama Allah. Tetapi ini jarang berlaku.
  5. Jangan sesekali bersikap keras, kurang ajar, marah kepada ibu bapa. Gunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan mereka walaupun menegur kemungkaran.
  6. Jangan sampai retak perhubungan mesra dan kasih sayang dengan ibu bapa. Jika bersama pasangan balik kampung atau bersama dengan ibu bapa jangan bermesra sangat depan mereka, lebihkan ibu bapa.
  7. Jika ibu bapa sudah tua dan uzur jagalah kebajikan dan kesihatannya. Jangan menghantar ke rumah orang tua. Ini bagi mengelak perasaan dan jiwa ibu bapa tersisih atau dipinggirkan.
  8. Jaga dan layan ibu bapa yang tua dan uzur dengan sabar serta tabah. Gembirakan ibu bapa dan berikan kebahagiaan dijaga dengan baik anak sendiri.

Firman Allah mengenai tanggungjawab dan kewajipan anak terhadap ibu bapa yang bermaksud:
“Dan, Kami (Allah) mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya); dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Daripada firman itu Allah memperincikan beberapa yang wajib disedari iaitu anak diwajibkan berbuat baik kepada ibu bapa dan manusia wajib bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada mereka.

Jika ibu bapa meninggal dunia, beberapa perkara kebaikan dan adab baik untuk ibu bapa antaranya:
  • Berdoa dan beristighfar – memohon Allah kurniakan keampunan supaya dimasukkan mereka ke dalam golongan orang yang soleh.
  • Menyempurnakan perjanjian, jika ibu bapa mengikut sebarang perjanjian dengan orang lain.
  • Memuliakan sahabat handai si mati. Anak hendaklah menghormati dan memuliakan sahabat handai si mati seperti yang dilakukan oleh ibu bapa ketika hayat mereka.
  • Menyambung silaturahim kepada orang lain yang tidak sempat disambung oleh si mati sebelum meninggal dunia.
Hanya orang yang mempunyai anak akan tahu betapa cinta ibu dan bapa kepada anaknya. Mereka tidak mengharapkan balasan daripada anaknya. Balasan untuk ibu bapa daripada anak ialah sentiasa melakukan amal ibadat dan bersopan santun dalam kehidupan seharian.

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut: “Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Banyak kata-kata mengenai anak dan ibu bapa antaranya; “Anak yang baik bukan lahir daripada ibu bapa yang tidak mengenal orang tuanya. Anak adalah gambaran ibu bapanya. Orang tualah yang membentuk hitam atau putih peribadi seseorang anak itu, seperti sehelai kain putih.”

kebaikan menghormati ibu bapa

pada pendapat saya,ibu bapa adalah salah satu insan yang patut kita hormati kerana merekalah yang menjaga kita walau dimana jua.karangan ini diperoleh daripada blog www.ipislam.edu.my


Rasulullah anggap menderhaka kepada orang tua dosa besar selepas syirik

TANGGUNGJAWAB BERTERUSAN: Islam menganjurkan anak berbuat baik
kepada ibu bapa walaupun selepas mereka tiada.


ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.

Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.

Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam.

Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.

Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.