Monday, August 22, 2011

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM DI NEGARA KITA

Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

Saturday, June 11, 2011

MELLISA

MELLISA

Apabila balik ke biliknya, Mellisa berasa sangat menyesal kerana mengikut Farid ke pejabat surat khabar, tempat Syahid bekerja.
Semasa di pejabat akhbar itu tadi hatinya mula diisi perasaan cinta pandang pertama kepada Syahid kerana perwatakannya hampir sama dengan Hisyam. Siapakah Hisyam dalam hidup Mellisa? Suara, bentuk rambut, warna kulit, tubuh, dan ketinggian Syahid amat menyamai Hisyham. Syahid menyapa Mellisa dan seingatnya dia pernah bertemu dengan Mellisa. Mellisa menidakkannya kerana dia cuma mengenali nama Syahid pada artikel dan rencana di akhbar sahaja.
Farid kemudiannya meninggalkan Mellisa di bilik Syahid yang berbentuk kotak itu. Syahid meneruskan perbualan dengan Mellisa. Perbualan tersebut mengembalikan ingatan Mellisa kepada Hisyam. Apabila dipandang ke wajah Syahid Mellisa seolah-olah sedang berbual-bual dengan Hisyam. Mellisa bertambah berkenan kepada Syahid.Syahid mengajaknya keluar makan tengahari pada hari sabtu setelah dia menolak jemputan makan malam kerana rutin mingguannya mesti pulang ke Seremban untuk bertemu dengan ibu bapanya. Setelah selesai urusan di pejabat akhbar itu Mellisa dan Farid berjalan peluang ke tempat tempat penginapan mereka.
Semasa dalam perjalanan itu Farid gundah kerana Mellisa menyepi seribu bahasa dan tidak banyak bercakap.Farid seorang pensyarah di Jabatan Sejarah telah menjadi rakan karib Mellisa sewaktu dia sedang mengambil Master dan kerap kali mereka bertengkar tentang sesuatu isu. Farid kadang-kadang akan mengalah dengan menganggap Melllisa ada fakta dan hujan yang boleh diterima. Mellisa diusik oleh Farid tentang pertemuannya dengan Syahid ”Cinta Pandang Pertama” barangkali, dia hanya tersenyum payah untuk dijawab kerana hatinya secara tiba-tiba suka kepada Syahid.
Setelah berehat di biliknya Mellisa terbaca sepucuk surat dari kawannya, kata-katanya sungguh hebat ”Langkah, rezeki, pertemuan dan maut adalah milik Tuhan”. Tambahnya lagi cinta orang islam ”Cinta pada Allah dan cinta Rasul-Nya barulah cinta bangsa dan tanahair”. Pesanan itu terlekat dalam hati Mellisa. Dia telah beberapa kali gagal dalam percintaan begitu juga yang bakal dialami oleh Syahid. Cinta sebenarnya hanya kepada Hisyam seorang sahaja, walaupun cinta itu berputik dan mekar semasa mereka masih kanak-kanak lagi.
Fikiran Mellisa menerawang mengingati kembali sewaktu dia kecil dahulu, Hisyam pernah berkata kepadanya ”Nanti apabila aku sudah besar aku akan kahwin dengan kau”.Mereka berdua pernah main masak-masak, Mellisa akan memasak dan dimakan oleh Hisyam. Apa sahaja yang dihidangkan Mellisa semuanya sedap bagi Hisyam. Apabila petang menjelma Hisyam akan pulang ke rumah setinggan yang terletak di belakang rumah Mellisa, dia menunggu sehingga Hisyam masuk ke rumahnya. Seketika kemudian Hisyam muncul kembali dengan berpakain baju melayu untuk ke masjid. Selepas itu barulah Mellisa masuk ke rumahnya. Dia sangat suka kepada Hisham.
Melllisa sedar Hisyam sudah tiada lagi, kerana terbunuh bersama-sama ibunya dalam satu rusuhan kaum yang terburuk di negara kita iaitu Peristiwa 13 mei 1969. Umur Hisyam hampir 30 tahun sekiranya dia masih hidup. Peristiwa hitam itu berlaku di Jalan Petaling sewaktu dia dan ibunya pulang daripada meziarahi keluarga yang tinggal di hadapan Stadium Negara. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang peguam dan tentera.Selepas peristiwa itu MAGERAN telah mengambil alih pemerintahan negara. Perintah berkurung dikuatkuasakan supaya tidak berlaku pembunuhan antara orang Cina dengan Orang Melayu.
Dua minggu sebelum terkorban Hisyam telah menumbuk seorang budak Inggeris berumur 7 tahun iaitu kawan Mellisa sewaktu bapanya menjadi diolomat di London. Kini kawan ayahnya dulu itu datang ke Malaysia sebagai diplomat dan tinggal berdekatan rumahnya tetapi Hisyam tidak mengetahuinya. Mallisa sangat banggadengan kelelakian Hisyam itu dan dia berjanji akan mengahwini Mellisa apabila bekerja nanti. Hisyam pasti ibunya sangat berkenan kepada Mellisa dan akan mengajarnya tentang agama Islam.
Mellisa tiba-tiba tersenyum seorang diri di biliknya kerana terhibur dengan perwatakan Hisyam yang dicintainya. Namum kegembiraannya terhenti bila terkenang Hisyam tidak akan kembali lagi setelah terkorban dalam peristiwa yang tragis itu. Hampir 15 tahun persoalan itu menghantui Mellisa, dia telah mengkaji punca-punca berlakunya peristiwa 13 Mei itu. Dalam tesisnya setebal 215 Mellisa mengumpulkan pelbagai dokumen dan menemubual seorang mangsa iaitu wanita cina yang berumur 40 tahun. Dalam peristiwa tersebut tunangnya telah terbunuh kerana dibunuh oleh orang-orang Melayu. Semasa menghantar Jamilah rakan sepejabatnya yang tinggal di kampung baru, tiba sahaja dimuka rumah setinggannya tunang perempuan cina itu diheret oleh sekumpulan pemuda Melayu dari dalam kereta itu. Lalu tunangnya dibunuh dan dia pun hampir dibunuh sama, jamilah telah berteriak memohon agar pemuda itu tidak melakukan sesuatu kepada rakannya itu. Walaupun tidak dibunuh kesan torehan di mukanya masih menjadi tanda kesengsaraan mereka pada masa itu. Kalau dia dan tunangnya tidak menghantar Jamilah pulang sudah pasti tidak berlau kejadian itu. Namun wanita cina itu berdendam kepada Jamilah sebaliknya dia pasrah dengan ketrntusn itu. Begitu jugalah nasib Hisyam dan ibunya tak mungkin dibunuh oleh orang cina di kampungnya kerana Hisyam sudah dikenali semua orang, setiap pagi dia bergerak dari rumah ke rumah untuk menjual nasi lemak dan kuih koci. Setelah perintah berkurung ditarik balik barulah penduduk kampung baru terasa kehilangan Hisyam yang setiap pagi datang menjaja ke rumah-rumah mereka.
Setelah sekian lama membuat penyelidikan dan kajian maka Mellisa membuat rumusan kejadian peristiwa 13 Mei 1969 berpunca daripada Dasar Polarisasi Kaum yang diamalkan oleh Penjajah British. Orang putihlah mengasingkan kumpulan etnik di Malaysia mengikut ras seperti orang Melayu di kampung, Orang cina di bandar dan orang India di estet-estet. Mellisa pernah menyatakan hasrat kepada bapanya untuk bersekolah di sekolah Melayu tetapi bapanya tidak berani melanggar tradisi tersebut yang diamalkan oleh British di Tanah Melayu sejak dahulu lagi. Mellisa mengelarkan orang British sebagai ”setan putih”. Mallisa teringat kembali kepada Hisyam yang marah kepadanya apabila dia ke rumahnya setelah Hisyam menghilangkan diri setelah menumbuk anak Inggeris itu. Mellisa menangis kerana terlalu sedih dengan tindakan Hisyam yang memarahinya itu.
Hujan turun dengan lebatnya telah mengejutkan Mellisa yang masih terkenang peristiwa masa kecilnya itu bersama-sama Hisyam. Dia bangun untuk menutup tingkap biliknya itu yang dimasuki tempias hujan. Dulu setiap kali selepas hujan Mellisa akan berada di tepi tingkap untuk melihat keindahan alam sekitar selepas hujan yang cantik.
Mellisa kumudiannya menerima panggilan melalui telefon oleh Syahid yang ingin berbual-bual dengannya. Mereka bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain dalam perbualan tersebut. Syahid benar-benar rindukan Mellisa dan ingin bertemu lebih awal dari hari yang dijanjikan. Sebaliknya Mellisa tidak mahu melayan permintaan Syahid dan beranggapan cintanya itu tidak akan kekal lama kerana di dalam hatinya hanya Hisyam. Ganggang telefon diletakkan oleh Mellisa manakala Syahid terus mengharap.
Apabila masuk ke bilik angan-angan Mellisa kembali semula kepada Hisyam. Dia teringat suatu ketika dahulu Hisyam pernah membawanya ke bendang untuk pergi ke pondok nenekya menunggu padi yang sedang masak daripada dimakan oleh burung. Mereka berdua berlari-lari keriangan ke sana ke mari. Hisyam membantunya melompat gelung besar untuk mendapatkan Atan yang sedang dikhianati oleh 3 orang budak nakal. Atan anak yatim piatu yang tinggal bersama-sama datuknya. Menurut Mellisa Atan seorang dudak yang baik hati dan suka membantu Hisyam. Atan telah lama menghilangkan diri entah ke mana setelah datuknya meninggal dunia.
Mellisa juga teringat selepas kematian Hisyam hanya sekali sahaja dia turun ke kampung Hisyam terutama di kawasan bendang nenek Hisyam. Dia pergi ke pondok itu dan memeluk nenek dengan kuat sekali. Nenek menjemput Mellisa makan sama hidangan itu semasa Hisyam masih ada. Suasana menjadi sayu air matanya gugur membasahi pipinya kerana rindukan Hisyam.
Setelah hari yang dijanjikan dengan Syahid itu tiba Mellisa mereka mengotakan janji tersebut. Nampaknya hubungan mereka amat akrab sekali seperti sepasang merpati terbang di langit lepas. Kemudian Syahid merasakan seolah-olah dia dipermain-mainkan oleh Mellisa yang pergi meninggalkannya kerana mendapat panggilan untuk bertugas. Mellisa bertekad untuk mengabdikan dirinya kepada bangsa dan negara sejak dia mengetahui punca berlakunya tragedi 13 mei 1969. rakan-rakannya menganggap tindakan Mellisa memilih kerjaya sebagai tentera sebagai bodoh kerana dia mempunyai paras rupa yang cantik, sederhana tinggi dan potongan badan yang ingin dimiliki oleh ramai perempuan lain. Tetapi kalau bukan dia yang berkihdmat kepada negara ini siapa lagi.
Syahid tidak tahu cita-cita Mellisa, dia cinta kepada Syahid tetapi biarlah 5 atau 6 tahun lagi untuk dia bertemu semula dan kalau ada jodoh mereka akan berkahwin. Bagi Mellisa lelaki sekacak Syahid cukup mudah didampingin oleh ramai wanita, jadi tak payahlah dia menunggu Mellisa. Hal ini kerana sebelum meninggal dunia Mellisa ingin melaihat negara dan rakyat negara ini dapat hidup dalam kedamaian, bersatu padu dan selamat sebagai satu bangsa merdeka serta berjaya. Mellisa berharap peristiwa 13 mei tidak berulang lagi sambil memeluk dengan erat kekasih sejatinya M16.

biarkan samudera

BIARKAN SAMUDERA


Amirah seorang mahasiswi yang sedang menuntut ini sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini. Dia seorang anak nelayan yang miskin dan susah. Amirah juga tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang ibu kerana ibunya meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan ke dunia. Dia hanya ada seorang ayah yang menjagA, memberi perhatian dan kasih sayang kepadanya. Dia juga mempunyai seorang kenalan bernama Hakimah iaitu sahabatnya semasa belajar di situ dan telah banyak membantu apabila Amirah menghadapi masalah.
Hati Amirah telah dilanda dengan pelbagai masalah sehingga menggangu ketenangan jiwa dan pelajarannya. Penderitaan batinnya itu boleh disamakan dengan samudera yang sedang bergelombang dan bergelora yang kuat tetapi mulai mengecil apabila tiba di pantai. Ingatan Amirah kepada kehidupannya di perkampungan nelayan tidak boleh dihilangkan dengan mudah ”di saat dia ingin melupakan, saat itulah pula dia datang menerawang dan berlegar-legar dalam benaknya itu.
Amirah mengatakan ”Samudera ialah khazanah kehidupan nelayan, manakala kesejahteraan dan keharmonian nelayan mengeksploitasi dan memanfaatkan khazanah itu akan menjamin kelangsungan dinamika keseimbangan ekosistem samudera”. Fikiran Amirah terus mengingati kehidupan di kampungnya di mana setiap hari dia melihat gelombang ombak membadai pantai yang cantik itu. Hatinya menjadi sayu dan pilu sehingga air matanya pula seolah-olah akan gugur ke bumi.
Tiba-tiba Hakimah mengajak Amirah keluar ke bandar kerana pada hari itu (sabtu) mereka cuti dan tiada kuliah. Mir ialah nama timbangan Amirah. Dia teringat kata-kata ayahnya ” sudah tidak ada apa-apa lagi yang tinggal buat kita Mir, segala-galanya kosong. Segala-galanya tidak bererti”. Kata-kata itu benar-benar menghimpit perasaan Amirah, hatinya berasa pedih dan perih kerana hujung semester nanti dia akan pulang bercuti. Dimanakah dia akan tinggal, adakah di samudera kerana rumahnya telah dirobohkan oleh pihak pemaju yang akan menjadikan kampung itu sebagai pusat pelancongan. Ayah Mir menyatakan sekarang ini rumah-rumah penduduk kampungnya telah dirobohkan oleh pihak pemaju, kehidupan nelayan hampir musnah suatu ketika nanti. Mereka tidak berhak menuntut apa-apa daripada pihak pemaju kerana tanah itu tidak bergeran, pemaju hanya menjanjikan sederet rumah papan panjang sebagai ganti rugi kepada penduduk yang terlibat. Amirah tidak dapat menggambarkan perasaan ayah kerana dia dengan samudera sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan lagi. Apabila muncul pusat pelancongan sudah pasti ayah tidak dapat membelah samudera lagi.
Hakimah rungsing melihat keadaan Amirah yang menjadi pemurung, lemah dan tidak bersemangat berbanding dulu dia seorang
mahasiswi yang berjiwa kental. Hakimah menasihati Amirah bertemu kaunselor kerana mengalami konflik jiwa yang hebat iaitu skizofrenia.Dia kelihatan tidak bermaya dan mempunyai sikap bosan terhadap hidup, dan mengabaikan pelajaran. Hakimah perlu membantu Mir kerana dia tiada siapa lagi untuk meminta bantuan.
Ibu Hakimah telah memberikan hadiah satu bungkusan kain berwarna kepada Mir dan teringin sangat hendak berjumpa dengan Mir. Ibu Hakimah berpesan supaya Mir selalu bersolat mendekatkan diri kepada Tuhan. Mungkin dia sepatutnya membuang perasaan kesalnya jauh-jauh seperti samudera yang tidak pernah berehat daripada bergelora, yang berubah hanya pantai iaitu kehidupan bapanya.
Tiba-tiba Amirah terdengar suara ayahnya yang menasihatinya supaya berusaha membina kehidupannya pada masa akan datang. Dia tidak mahu Mir terlalu memikirkan hidupnya kerana perkara seperti itu telah menjadi satu suratan takdir. Mir perlu menggantikan rumah yang telah dirobohkan itu, ayahnya tumpang bangga dengan kejayaam Mir nanti.
Ayah Mir berpesan lagi supaya dia akan menjaga samudera jangan sampai dikhianati, boleh dibangunkan tetapi keasliannya mestilah dipelihara. Bermula dari saat itu semangat Amira telah pulih kembali. Hakimah amat gembira melihat perubahan yang berlaku kepada Mir. Dia sudah menjaga solatnya dengan baik dan berkata kepada Hakimah ”Hadiah ibumu ini akan kupakai lima kali sehari” Amirah kelihatan tenang berada di atas sejadah itu.

ibu dan ceper

IBU DAN CEPER

Pengarang menceritakan tentang ciri-ciri atau sifat-sifat sungai yang amat dicintainya yang dipanggil Sungai Ceper. Sungai Ceper lurus, panjang dan mengalirkan air yang jernih, pasir berbiji halus, batu-batu kerikil yang berkilat mengalir dan ikan-ikan bergerak cerdas.Sungguh menarik sungai Ceper.
Sungai Ceper diibaratkan sama dengan ibu pengarang yang lincah bergerak ke mana-mana sahaja khususnya ke bendang / sawah untuk mencari rezeki. Begitu juga Sungai Ceper yang mengalirkan air setiap masa tanpa mengira penat dan lelah untuk keperluan orang ramai.Sungai Ceper juga membekalkan makanan seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya. Pengarang pernah turun ke lubuk Sungai Ceper untuk menangkap ikan bersama-sama rakannya. Betapa seronoknya mereka pada masa itu.
Ibu akan berehat dan tidur pada waktu malam sahaja, apabila siang dia akan ke sawah, menetak mengkuang, gotong-royong kenduri di rumah jiran, menziarahi jiran dan lain-lain. Begitu juga aktifnya Sungai Ceper, bezanya pada waktu malam Ceper tidak berhenti mengalir suaranya kedengaran semakin garang terutama sewaktu air pasang selepas hujan lebat turun, deruannya terdengar sampai ke rumah pengarang.
Sungai Ceper pernah juga mengamuk apabila hujan lebat turun di hulu, airnya telah melimpahi tebing sehingga menenggelamkan bendang ibu. Ibu telah mengamuk dan marah kepada Ceper kerana semua pokok padi habis tenggelam dan mati. Suara ibu memarahi bapa yang tidak mempedulikan nasib padinya sama garangnya suara Ceper yang melimpahkan airnya ke petak-petak sawah ibu. Ibu akur dengan takdir tetapi terus mengusahakan semula sawah selepas Sungai Ceper tenang kembali.
Ibu sekali lagi mengamuk dan memaki-maki Sungai Ceper kerananya sekali lagi pokok padi yang hendak mengeluarkan buah menjadi banyak yang hampa kerana air Sungai Ceper tidak boleh membantu langsung kali ini. Kemarau panjang menyebabkan air Sungai Ceper menjadi amat tohor, manakala petak-petak sawah menjadi kering kontang sehingga lembu terpaksa diheret ke Sungai Ceper untuk minum air. Ibu terpaksa menggunakan telaga untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian dan tidak bergantung kepada Sungai Ceper lagi.
Semua peristiwa itu berlaku sepanjang 40 tahun yang lalu semasa pengarang masih muda remaja dan ibunya masih boleh melahirkan zuriat lagi.
Namun sekarang ibu sudah tiada lagi, kerja-kerja di bendang diambil alih oleh bapa manakala pengarang sudah berkahwin, beranak dan bercucu. Bezanya Sungai Ceper masih wujud namun tidak seperti dahulu lagi. Airnya kotor, ikan-ikan tiada lagi dan arusnya semakin lemah. Semua ini terjadi sepuluh tahun lalu setelah ibu jatuh di bendang kerana terpijak tunggul kayu lama sehingga membawa ke mati.
Ibu lumpuh dan tidak mampu bergerak lagi manakala bapa turun ke bendang untuk usahakan sawah tinggalan ibu itu. Pada masa itu pengarang sudah mendapat dua orang anak dan dia bertuah mendapat seorang isteri yang tidak kekok dengan kerja-kerja di bendang. Bapa hanya menjadi perawat ibu di rumah kerana sudah uzur untuk ke bendang. Bebanan yang dipikul oleh pengarang masih ringan kerana bapa tidak lumpuh seperti ibu. Pernah sekali pengarang menengking ibu semasa membasuh beraknya menyebabkan ibu menangis dan kemudian ibu meninggal dunia.
Sungai Ceper juga menjadi lumpuh seakan-akan lumpuhnya ibu. Arus Ceper juga semakin lemah sudah tidak mampu menghakis tebing dan mengorek lubuk lagi. Pada masa yang sama Sungai Ceper telah dijadikan tempat membuang sampah sarap, bangkai, plastik dan lain-lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Baunya amat busuk sekali. Kemudian bapa terjatuh dan meninggal dunia, Sungai Ceper tiada apa-apa tindak balas lagi.
Aliran Sungai Ceper menjadi semakin lemah dan membawa bersama-sama bangkai-bangkai, sisa-sisa, hampas-hampas, keladak-keladak dan kahak-kahak yang berbuih serta berulat. Sekarang pengarang pun sudah tua hanya mampu menjaga cucu di rumah bersama-sama isteri, ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Anak-anaknya telah menggantikannya untuk mengusahakan sawah ibu. Walaupun kuat mereka bekerja, Sungai Ceper tidak kembali seperti dahulu lagi. Aliran sungai Ceper telah berhenti tidak mengalir lagi. Dahan pokok kayu ditebing Sungai Ceper tumbang ke dada sungai Ceper menyebabkan Ceper tidak berdaya lagi bergerak dan akhirnya mati seperti ibu kaku tidak bergerak lagi.

sajak selamat hari ibu!

Bila dahaga, yang susukan aku….mak
Bila lapar, yang suapkan aku….mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut….Mak
Bila bangun tidur, aku cari….mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ….mak
Bila nak bermanja, aku dekati….mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah….mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya….mak
Bila nakal, yang memarahi aku….mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma….mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah….mak
Bila takut, yang tenangkan aku….mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk….mak
Aku selalu teringatkan ….mak
Bila sedih, aku mesti talipon….mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu…. .mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil… “mmaaakkkk! ”
Bila sakit, orang paling risau adalah….mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga….mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu….mak
Bila ada masalah, yang paling risau…. mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. …mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk…..mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku….mak
Yang selalu berleter kat aku…mak
Yang selalu puji aku….mak
Yang selalu nasihat aku….mak
Bila nak kahwin…Orang pertama aku tunjuk dan rujuk…..mak

Aku ada pasangan hidup sendiri….

Bila seronok, aku cari….pasanganku
Bila sedih, aku cari….mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada….pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada….mak

Bila bahagia, aku peluk erat….pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat….emakku

Bila nak bercuti, aku bawa….pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah….mak

Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu…aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila… aku nak talipon mak

Selalu…aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila… aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
“Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja… bolehkah kau kirim wang
untuk mak?
mak bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”.
Berderai air mata jika kita mendengarnya. …….
Tapi kalau mak sudah tiada……. …
MAKKKKK…RINDU MAK…. RINDU SANGAT….
Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya….
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya…..
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya…..
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya…… .
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis
ibunya….
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya……
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya……
Sesungguhnya hargailah ibu kita kerana kejayaan hidup kita bergantung kepada restunya..

UCAPAN HARI GURU


Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru penolong kanan, guru-guru, dan rakan seperjuangan sekalian. Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Pada pagi yang mulia ini, saya merakamkan penghargaan kerana diberi kesempatan menyampaikan sepatah dua kata pada majlis yang bermakna ini.
Jasa guru tidak dapat dihitung dengan jari. Guru lah menyebabkan kita mengenal huruf dan angka. Huruf yang diajar, dikembangkan menjadi suku kata, perkataan dan seterusnya ayat. Menerusi huruf, kita mampu mengira ribuan angka. Semuanya kita peroleh menerusi dedikasi guru yang berterusan mendidik tanpa mengenal penat dan lelah.
Cikgu-cikgu yang dikasihi,
Pengorbanan guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan untuk kita lulus dalam menghadapi peperiksaan sahaja, tetapi juga untuk membentuk akhlak kita untuk menjadi insa yang berhemah, tahu menghargai orang tua, dan mencintai tanah air kita. Sebab itulah setiap kali perhimpunan, para guru akan menegur kita sekiranya kita melakukan sesuatu kesalahan.
Guru ibarat ibu bapa kita. Guru telah diberi amanah oleh ibu bapa kita untuk memastikan kita menjadi seorang insane yang berguna di masa hadapan. Sepanjang kami berada di sekolah, mungkin ada tingkah laku kami yang melukakan hati cikgu. Saya mewakili teman-teman yang lain menyusun jari memohon ampun atas segala kesalahan yang kami telah lakukan. Ini adalah kerana kami merupakan anak remaja yang masih mencari identiti.
Para guru dan rakan-rakan yang disayangi,
Pada majlis ini, kami mengharapkan para guru akan terus dirahmati Tuhan dengan tubuh badan yang sihat. Malah kami berharap agar para guru tidak jemu untuk mendidik kami agar menjadi insan yang berguna. Kami berjanji akan belajar bersungguh-sungguh, seterusnya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak.
Demikianlah serba sedikit ucapan dari anak muridmu di pagi yang mulia ini. Sebelum mengundur diri, ingin saya pohon beribu ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa lalu menyinggung perasaan cikgu-cikgu yang dikasihi.
Sekian.

PIDATO=masalah buli dalam kalangan remaja

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pelajar, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar berkata :

“Kita akan melancarkan perang habis-habisan terhadap sebarang perlakuan buli di sekolah”

Salam perpaduan bertatahkan intan kemesraan saya ucapkan kepada Tuan Peneraju Majlis, barisan panel juri nan bijak bestari, penjaga masa yang setia dengan detik waktunya, dan seterusnya kulasentana dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.

Kulasentana dewan yang saya muliakan,

Mauduk pidato yang akan saya sampaikan ialah “Masalah Buli Di Sekolah”. Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjuk-nunjukkan kekuatan sehingga menjadikan mangsa buli itu menghormati dan tunduk kepada pembuli. Perbuatan buli boleh menyebabkan mangsa buli ketakutan dan kesakitan serta menghadapi masalah dari segi nilai diri, psikologi, akademik dan perhubungannya dengan orang lain.

Kulawarga dewan penggerak wawasan,

Lontaran idea pertama, masalah buli di sekolah bertitik tolak daripada perasaan dendam dan iri hati dalam diri pembuli kepada orang yang dibuli. Contohnya, dalam kes seorang Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di Taman Maluri Cheras yang ditumbuk dan diugut dihadapan guru disiplin selepas dia menyerahkan telefon bimbit yang mengandungi gambar lucah milik pelajar berkenaan. Terdapat juga kes pelajar yang cemerlang dalam akademik menjadi sasaran buli kerana berkelakuan sombong dan tidak mahu berkongsi maklumat dengan pelajar lain. Fenomena buli yang biasa berlaku ialah pelajar kaya disuruh membayar “wang kantin” kepada pembuli. Jika tidak berbuat demikian maka dia akan ditumbuk. Semua ini wajar diberikan perhatian yang serius oleh kita agar masalah buli di sekolah dapat ditangani sehingga ke akar umbi.

Kulasentana dewan, kluster ilmuan,

Lontaran idea kedua, masalah buli di sekolah perlu ditangani melalui komitmen semua pihak terutamanya pelajar, guru dan ibu bapa. Guru mesti memiliki kemahiran pedagogi untuk mengesan dan melayan mangsa buli agar berani menyuarakan masalah mereka. Seorang pengkaji, Noran Fauziah mencadangkan pendekatan campurtangan yang telah lama diaplikasikan di England boleh diimplementasikan di Malaysia dalam menangani buli. Semoga kejadian buli yang melibatkan Mohammad Farid dan Matius Mering anak August yang dibelasah oleh pelajar senior sehingga berakhir dengan kematian tidak akan berulang lagi. Walaupun, Kementerian Pelajaran Malaysia melaporkan kejadian buli hanya melibatkan 0.03 peratus daripada sejumlah 5 juta orang pelajar agak kecil tetapi kesannya pada masa hadapan harus difikirkan dengan serius

Intihanya, masalah buli di sekolah tidak akan berakhir selagi kita tidak bersatu menanganinya kerana api yang makan lalang kering tidak dapat dipadamkan lagi. Sewajarnya kita berusaha menangani masalah ini hingga ke akar umbi demi masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan sampai angin berputar, ombak bersabung baru kita hendak mengambil jalan penyelesaian.