Sunday, April 24, 2011

menyuburkan kesedaran sivik

Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Apabila berada di dalam pengangkutan awam seperti bas, monorel mahupun kereta api, masih banyak lelaki yang sasa dan bergaya, tidak sanggup untuk memberi tempat duduk kepada wanita tua atau ibu mengandung yang tidak berdaya. Di perhentian-perhentian bas pula, sampah-sarap yang mengotorkan dan menyakitkan mata memandang juga bukan perkara asing di mana-mana tempat di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Pada pendapat saya, kita harus meneliti dan mendalami permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.
Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih; ibu bapalah yang yang akan mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka yang sebenarnya. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi yang positif dalam diri anak-anak mereka. Malahan, rumah adalah ibarat syurga kepada setiap anak yang lahir ke dunia ini. Dari rumah, mereka mengenal erti kasih sayang, perasaan saling memahami serta saling menghormati. Namun, hakikat yang amat pahit untuk diterima adalah terdapat banyak daripada kalangan masyarakat kita kini yang menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah insan-insan lain dalam institusi rumah tangga itu, iaitu anak-anak. Tanpa disedari oleh ibu bapa, mereka telah memusnahkan keceriaan rumah tangga dan alam remaja anak-anak mereka menyebabkan anak-anak turut berendam air mata. Menyaksikan ibu bapa ‘seperti anjing dengan kucing’, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mewujudkan luka jiwa yang amat dalam kepada anak-anak. Maka, akan terdapat antara mereka yang melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng atau melakarkan ‘graffiti’ di tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Malahan, terdapat juga dalam kalangan mereka yang bertindak seperti ‘marahkan pijat, kelambu dibakar’ iaitu melepaskan kemarahan dan dendam mereka kepada orang lain seperti guru-guru dan rakan-rakan dengan menunjukkan sikap biadab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Segala perlakuan ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Malahan, kajian polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada remaja yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut. Seterusnya, perkara tersebut akan mempengaruhi perlakuan mereka.

No comments:

Post a Comment