Thursday, June 9, 2011

cara cara mengatasi masalah pembuangan bayi

Kes pembuangan bayi di negara kita memang memalukan masyarakat. Saban bulan ada sahaja kes ini dilaporkan dalam media massa negara ini. Lantaran itu, ada banyak perkara yang boleh diambil untuk memastikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini tidak menular terus.

Tindakan yang agresif ialah ibu bapa bayi yang malang ini perlu menerima hukumannya. Kita tidak seharusnya menghukum ibu sahaja tetapi ayah bayi itu juga harus bertanggungjawab. Kemungkinan tindakan yang tegas sebegini akan memberi peringatan kepada ahli masyarakat yang lain supaya berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan yang serupa.

Selain itu, usaha membuka Sekolah Harapan juga menjadi satu langkah yang bijak untuk mengatasi masalah ini. Remaja yang terlanjur dalam tindakan mereka itu boleh ditempatkan di sekolah ini untuk menerima nasihat dan bantuan ketika menunggu kelahiran bayi tersebut. Jadi, sesi kaunseling dan bimbingan ini boleh menjadikan remaja ini matang lalu berupaya untuk menjaga bayi mereka kelak.

Tambahan pula, pendidikan agama dan moral perlu diterapkan dengan lebih mendalam dalam jiwa remaja terutama ketika di sekolah. Didikan ini berupaya untuk membentuk satu dinding jati diri yang utuh lalu menghalang masalah ini berlaku pula. Sesungguhnya, didikan agama dan moral menjadikan remaja boleh membezakan antara yang baik dan yang buruk.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini perlu ditangani dengan segera. Kita harus sedar bahawa bayi itu tidak bersalah dan tidak berhak menerima nasib dibuang begitu sahaja impala sampah. Semua pihak harus berganding bahu untuk bersama-sama mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment