Salah satu punca yang mendorong bangunan bersejarah ini dimusnahkan ialah lokasi bangunan ini boleh dimajukan untuk sesuatu projek yang lebih menjana keuntungan seperti mendirikan projek perumahan atau membina pusat membeli-belah yang luas. Biasanya kawasan bangunan bersejarah ini menjadi kawasan perniagaan utama kerana peredaran masa menjadikannya begitu strategik untuk projek pembangunan pula. Pembinaan projek pembinaan moden mampu menjamin lebih banyak pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek kepada mana-mana pemaju projek tersebut. Jadi, faktor kawasan yang strategik menjadikan bangunan bersejarah sasaran utama pemaju untuk membina projek mereka lalu mengaut keuntungan dengan mudah.
Bukan sahaja sumber kewangan yang tinggi dan lokasi yang strategik tetapi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya bangunan bersejarah juga masih belum menebal dalam jiwa masyarakat kita. Kalau kita hendak bandingkan dengan masyarakat luar negara, tahap kesedaran menjaga bangunan lama di negara ini masih agak rendah lantaran negara kita baru sahaja mengecap alam kemerdekaan berbanding negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat itu. Perasaan sebegini menyebabkan tahap penentangan terhadap kemusnahan bangunan lama begitu rendah sehingga ada bangunan lama dirobohkan tanpa masyarakat umum mengetahuinya. Jelaslah, kesedaran untuk menjaga bangunan lama masih lagi belum begitu tebal untuk menghalang bangunan ini terus menerus hilang dalam lipatan sejarah negara kita.
Malah, kekurangan akta perundangan yang ketat dan menyeluruh turut menjadikan kemusnahan bangunan lama di negara ini sesuatu yang lumrah sahaja. Pihak pemaju sudah mengetahui semua kelemahan dalam sistem perundangan yang berkaitan dengan bangunan lama lalu mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk memberi sedikit kelebihan kepada mereka pula. Tindakan mereka ini menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan mereka walaupun menyedari bahawa bangunan lama itu penting dan harus dikekalkan kewujudannya lantaran kelemahan sistem perundangan tersebut. Maka, kelemahan dalam sistem perundangan telah menjadikan masalah ini semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.
Konklusinya, semua punca yang dinyatakan itu telah menjadikan negara ini kehilangan bangunan bersejarah saban tahun. Kerjasama semua terutama pihak berkuasa untuk menghalang tindakan negatit ini amat penting. Kita tidak mahu generasi masa depan hanya mengenali sesuatu bangunan lama itu berdasarkan sekeping gambar sahaja tanpa melihat bukti yang sahih. Sejarah memaparkan budaya masyarakat lalu tanpa bangunan sebegini wujud tiadalah budaya sesuatu bangsa tersebut.
No comments:
Post a Comment