Saturday, June 11, 2011

ibu dan ceper

IBU DAN CEPER

Pengarang menceritakan tentang ciri-ciri atau sifat-sifat sungai yang amat dicintainya yang dipanggil Sungai Ceper. Sungai Ceper lurus, panjang dan mengalirkan air yang jernih, pasir berbiji halus, batu-batu kerikil yang berkilat mengalir dan ikan-ikan bergerak cerdas.Sungguh menarik sungai Ceper.
Sungai Ceper diibaratkan sama dengan ibu pengarang yang lincah bergerak ke mana-mana sahaja khususnya ke bendang / sawah untuk mencari rezeki. Begitu juga Sungai Ceper yang mengalirkan air setiap masa tanpa mengira penat dan lelah untuk keperluan orang ramai.Sungai Ceper juga membekalkan makanan seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya. Pengarang pernah turun ke lubuk Sungai Ceper untuk menangkap ikan bersama-sama rakannya. Betapa seronoknya mereka pada masa itu.
Ibu akan berehat dan tidur pada waktu malam sahaja, apabila siang dia akan ke sawah, menetak mengkuang, gotong-royong kenduri di rumah jiran, menziarahi jiran dan lain-lain. Begitu juga aktifnya Sungai Ceper, bezanya pada waktu malam Ceper tidak berhenti mengalir suaranya kedengaran semakin garang terutama sewaktu air pasang selepas hujan lebat turun, deruannya terdengar sampai ke rumah pengarang.
Sungai Ceper pernah juga mengamuk apabila hujan lebat turun di hulu, airnya telah melimpahi tebing sehingga menenggelamkan bendang ibu. Ibu telah mengamuk dan marah kepada Ceper kerana semua pokok padi habis tenggelam dan mati. Suara ibu memarahi bapa yang tidak mempedulikan nasib padinya sama garangnya suara Ceper yang melimpahkan airnya ke petak-petak sawah ibu. Ibu akur dengan takdir tetapi terus mengusahakan semula sawah selepas Sungai Ceper tenang kembali.
Ibu sekali lagi mengamuk dan memaki-maki Sungai Ceper kerananya sekali lagi pokok padi yang hendak mengeluarkan buah menjadi banyak yang hampa kerana air Sungai Ceper tidak boleh membantu langsung kali ini. Kemarau panjang menyebabkan air Sungai Ceper menjadi amat tohor, manakala petak-petak sawah menjadi kering kontang sehingga lembu terpaksa diheret ke Sungai Ceper untuk minum air. Ibu terpaksa menggunakan telaga untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian dan tidak bergantung kepada Sungai Ceper lagi.
Semua peristiwa itu berlaku sepanjang 40 tahun yang lalu semasa pengarang masih muda remaja dan ibunya masih boleh melahirkan zuriat lagi.
Namun sekarang ibu sudah tiada lagi, kerja-kerja di bendang diambil alih oleh bapa manakala pengarang sudah berkahwin, beranak dan bercucu. Bezanya Sungai Ceper masih wujud namun tidak seperti dahulu lagi. Airnya kotor, ikan-ikan tiada lagi dan arusnya semakin lemah. Semua ini terjadi sepuluh tahun lalu setelah ibu jatuh di bendang kerana terpijak tunggul kayu lama sehingga membawa ke mati.
Ibu lumpuh dan tidak mampu bergerak lagi manakala bapa turun ke bendang untuk usahakan sawah tinggalan ibu itu. Pada masa itu pengarang sudah mendapat dua orang anak dan dia bertuah mendapat seorang isteri yang tidak kekok dengan kerja-kerja di bendang. Bapa hanya menjadi perawat ibu di rumah kerana sudah uzur untuk ke bendang. Bebanan yang dipikul oleh pengarang masih ringan kerana bapa tidak lumpuh seperti ibu. Pernah sekali pengarang menengking ibu semasa membasuh beraknya menyebabkan ibu menangis dan kemudian ibu meninggal dunia.
Sungai Ceper juga menjadi lumpuh seakan-akan lumpuhnya ibu. Arus Ceper juga semakin lemah sudah tidak mampu menghakis tebing dan mengorek lubuk lagi. Pada masa yang sama Sungai Ceper telah dijadikan tempat membuang sampah sarap, bangkai, plastik dan lain-lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Baunya amat busuk sekali. Kemudian bapa terjatuh dan meninggal dunia, Sungai Ceper tiada apa-apa tindak balas lagi.
Aliran Sungai Ceper menjadi semakin lemah dan membawa bersama-sama bangkai-bangkai, sisa-sisa, hampas-hampas, keladak-keladak dan kahak-kahak yang berbuih serta berulat. Sekarang pengarang pun sudah tua hanya mampu menjaga cucu di rumah bersama-sama isteri, ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Anak-anaknya telah menggantikannya untuk mengusahakan sawah ibu. Walaupun kuat mereka bekerja, Sungai Ceper tidak kembali seperti dahulu lagi. Aliran sungai Ceper telah berhenti tidak mengalir lagi. Dahan pokok kayu ditebing Sungai Ceper tumbang ke dada sungai Ceper menyebabkan Ceper tidak berdaya lagi bergerak dan akhirnya mati seperti ibu kaku tidak bergerak lagi.

No comments:

Post a Comment