Thursday, June 9, 2011

kesan vandalisme

Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.

Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.

Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.

Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.

No comments:

Post a Comment