Monday, October 3, 2011

keburukan menonton televisyen

Kesimpulan yang saya dapati ialah menonton televisyen menyebabkan kita lalai.Kita tidak akan membuat kerja sekolah dan akan melengahkan masa.Kita juga akan terpengaruh dengan tidak bagus.
diambil daripada=bacalah-sayang.blogspot.com

Keburukan Televisyen

Hampir setiap keluarga mempunyai peti televisyen di rumah mereka. Bagi yang berkemampuan, mereka membeli televisyen yang besar yang canggih. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka membeli televisyen yang lebih kecil. Yang penting, mereka dapat menonton siaran televisyen yang ada bermacam-macam program pada hari ini.

Rangkaian televisyen makin bertambah. Jika dulu hanya ada TV1 dan TV2 yang dikendalikan oleh kerajaan, hari ini adik-adik boleh menonton rancangan yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat swasta seperti TV3, TV9 dan NTV7. Ada yang sanggup menonton siaran berbayar seperti ASTRO yang mempunyai lebih banyak pilihan. Keadaan ini menyebabkan ada keluarga yang terpaksa membeli lebih dari sebuah peti televisyen. Ini kerana cita rasa anak-anak dan ibu bapa tidak sama. Mereka mahu menonton rancangan yang berlainan.


Jika sesebuah keluarga itu tidak mempunyai televisyen di rumah mereka, mereka seolah-olah tertinggal dari arus perkembangan semasa. Orang sibuk bercerita pasal Mawi World, mereka hanya ternganga mulut mendengarnya. Orang bercerita pasal program hiburan di sana sini, mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat menyampuk atau menokok tambah cerita.

Televisyen boleh memberi faedah kepada kita. Dengan menonton rancangan televisyen, kita tahu tentang perkembangan semasa yang berlaku di tanah air dan di luar negara. Melalui televisyen, kita tahu tentang betapa hebatnya tsunami yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa di beberapa buah negara kira-kira dua tahun yang lalu. Melalui televisyen, kita dapat tahu nasib saudara-saudara kita di Palestin dan kita berusaha membantu mereka.

Tetapi televisyen juga menyajikan rancangan yang tidak berguna kepada kita. Antaranya rancangan hiburan di mana artis-artis memakai pakaian yang mendedahkan aurat, mereka terpekik-pekik menyanyikan lagu-lagu yang melalaikan, berpeluk-peluk lelaki dan perempuan, menyebut perkataan-perkataan yang tidak baik seperti mendedahkan keburukan atau aib orang lain dan banyak lagi.

Televisyen juga menyajikan cerita-cerita yang merosakkan. Adegan-adegan yang tidak wajar ditonton oleh orang lain terutama golongan kanak-kanak, dilakonkan dengan bersahaja. Walaupun cerita yang disiarkan itu kononnya mahu memberi pengetahuan kepada kanak-kanak seperti cerita polis dan siri penyiasatan, tetapi adegan-adegan berpelukan, adegan atas katil, adegan di pusat hiburan menjadi perkara biasa seolah-olah perkara itu dibolehkan oleh agama kita. Ini kerana pelakon-pelakon itu sendiri merupakan orang Islam yang memang mengakui diri mereka Islam.

Lebih dahsyat lagi, di celah-celah cerita yang disajikan, diselang-seli dengan rancangan iklan. Iklan-iklan yang menguasai industri penyiaran ini merupakan iklan yang menyuburkan hawa nafsu manusia yang sememangnya sentiasa lapar. Apabila menonton iklan-iklan itu, hati pun mulai tergerak untuk memilikinya atau merasainya.

Iklan makanan biasanya merupakan ‘junk food’ atau lebih sesuai disebut ‘makanan sampah’. Misalnya mee maggi, ayam goreng, keropok, coklat, air minuman berkarbornat, dan macam-macam lagi. Iklan-iklan lain pula seperti perabot mewah, pakaian berjenama, peralatan elektrik yang mahal-mahal, kereta mewah, dan macam-macam lagi yang digalakkan kita membelinya. Orang kaya pun membelinya dengan penuh bangga. Bagi yang tidak berduit, mulai mencari jalan bagaimana untuk memilikinya. Ada yang sanggup merompak, mencuri, menyamun, meragut, menipu dan mengambil rasuah.

Adik-adik yang dikasihi, pada kesempatan ini Ummu nasihatkan adik-adik supaya menonton rancangan yang berfaedah sahaja di televisyen. Sebagai pelajar, adik-adik tidak seharusnya menghabiskan masa yang banyak untuk menonton TV. Ia lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Gunakan masa yang ada untuk aktiviti berfaedah seperti membaca buku, mengulangkaji pelajaran, menolong orang lain, beriadah dan sebagainya. Usah sia-siakan masa kerana kita akan jadi orang yang rugi. Semasa pengadilan di padang Mahsyar kelak, kita akan ditanya ke mana usia kita dihabiskan.
posted by=Nur Hafifah

No comments:

Post a Comment