Monday, October 3, 2011

semangat cinta akan negara

semangat cinta akan negara perlulah dipupuk daripada awal.karangan ini diambil daripada blog www.pemuda.com

Oleh Ammarhisham Kuala Lumpur – Semangat patriotisme rakyat terutama generasi pasca merdeka perlu sentiasa dipertingkatkan melalui pelbagai program yang menjurus ke arah itu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azman Shah Hj Omar Shah berkata dengan pemupukan semangat patrotisme itu, semangat cinta dan sayangkan negara akan lebih mendalam di kalangan rakyat untuk mempertahankan kemerdekaan negara.
Sambil menyokong penuh program meningkatkan semangat patrotisme sempena Bulan Kemerdekaan Ogos ini, beliau berkata proses penyuburan melalui program seumpama itu penting dilakukan sepanjang masa bagi membantu negara kekal berdaulat dan mencapai wawasan yang dicita-citakan.
“Kita perlu menerima hakikat, manusia seringkali mudah terlupa untuk melihat kembali sejarah. Sebab itu, semakin lama usia kemerdekaan negara, semakin mudah rakyat khususnya generasi selepas era tersebut terlupa akan pentingnya semangat patriotisme ini meskipun dari segi fizikalnya kita telah bebas dari penjajahan.
“Dengan mengadakan program berkenaan secara berterusan, kita percaya penghayatan rakyat terhadap semangat patriotisme dan nasionalisme lebih mendalam sekaligus mengelakkan berlakunya penjajahan minda”, katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa/Sekretariat Tetap Briged Putera dan Remaja UMNO turut mengakui ia bukanlah suatu perkara yang mudah dicapai dan boleh melihat hasilnya secara serta merta.
Namun usaha ke arah itu mesti dipertingkatkan melalui kerjasama semua pihak dengan menjurus kepada satu matlamat memupuk semangat kecintaan negara jitu di samping menguatkan pemantapan minda agar tidak mudah terjajah.
“Peringatan yang sentiasa diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad perlu dijadikan pedoman kerana katanya sekali negara merdeka tidak semestinya ia akan terus merdeka”, katanya.

No comments:

Post a Comment