Monday, October 3, 2011

punca-punca gengsterisme dalam kalangan pelajar

Kesimpulannya gengsterisme ini terjadi kerana remaja zaman kini terlalau mudah terpengaruh dengan media massa dan sekitarnya. Namun begitu,pihak lain juga bersalah,Pihak yang dimaksudkan ialah ibubapa,rakan dan pihak lain .

Diambil Daripada=www.blogger.com
Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja dewasa ini. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol.

A. Sejarah Awal Gengsterisme

Penghijrahan masyarakat Cina dan India ke Malaya pada abad ke-18 dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya kumpulan geng di Malaysia. Migrasi masyarakat Cina terutamanya dari wilayah Kwantung dan Fukian akibat keadaan politik serta pernah menyertai aktiviti penggulingan Dinasti Manchu menyebabkan Malaya turut diresapi aktiviti ini. Mereka yang paling aktif adalah dari kumpulan Ang Bin Hoay yang cuba mendapatkan ahli melalui sistem Kapitan iaitu menyatukan ahli untuk memastikan kepentingan mereka terpelihara. Aktiviti kumpulan-kumpulan ini tidak lagi berpusatkan kepada memelihara kepentingan ahli semata-mata tetapi mula melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah seperti mencuri, membunuh dan mengancam keselamatan orang ramai untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kumpulan berpengaruh.

Dalam kalangan masyarakat India pula, pelabelan istilah geng bermula sejak tahun 1960-an apabila ramai remaja India mula terlibat dengan aktiviti yang menjurus kepada jenayah terutama dengan pengaruh dari kumpulan etnik Cina. Ada kumpulan yang menyamai aktiviti ini seperti mendapatkan wang perlindungan manakala ada pula yang bergaduh semata-mata kerana isu wanita. Pada tahun 2000, 459 daripada 1560 buah sekolah menengah berhadapan dengan pelajar berisiko terlibat dengan gengsterisme.

B. Faktor Penyebab Gengsterisme

a) Institusi Kekeluargaan

Arus pemodenan yang pesat di dalam negara penting untuk pembangunan dan peningkatan taraf hidup tetapi sifat sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja ini terabai atau tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Penderitaan ini tidak difahami oleh golongan remaja walaupun mereka sedar namun sukar untuk mendapat bimbingan memandangkan kehidupan keluarga yang mendesak perlu diatasi dengan pengorbanan masa bekerja.

Ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gengsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggunggjawab mereka ke atas anak-anak mereka. Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dari keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal. Pendapatan dari pekerjaan sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya dilabel sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan.

b) Pengaruh Rakan-Rakan

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kehidupan seseorang kerana kesilapan bergaul dengan rakan-rakan yang salah boleh menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari kehidupan yang betul malahan penngaruh kuat rakan-rakan ini akan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Aktiviti mereka bersifat memberontak seperti mengganggu pengajaran guru-guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol. Berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah baik yang melibatkan pergaduhan, kewangan atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan.


c) Kekuatan Diri Sendiri

Sikap remaja sendiri penting untuk mengelakkan diri mereka daripada terbabit di dalam gengsterisme. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti ini adalah remaja yang masih tidak mempunyai haluan dan terkapai-kapai mencari jalan kehidupan mereka. Desakan keluarga dan kesempitan hidup boleh mendorong mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya ke atas pendidikan mereka dan menganggap keciciran dan ponteng sekolah merupakan amalan yang biasa. Mereka hilang tumpuan kerana sikap inferioriti di kalangan mereka sendiri berbanding dengan pelajar yang rajin dan tekun berusaha. Ketiadaan ‘role model’ yang sesuai juga dianggap faktor pendorong pembabitan mereka di dalam gengsterisme.

d) Kesan Persekitaran

Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Ada pula dilabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gengsterisme. Ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka. Ada ketua geng yang memberi kekuatan kepada remaja di kawasan tersebut untuk bergaduh kerana memastikan sokongan mereka serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gengsterisme.


e) Media Massa

Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah lakuyang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.




f) Sekolah

Sungguhpun sekolah bukan punca yang menyebabkan gengsterisme, tetapi sekolah boleh menjadi tempat pertemuan ketua dan ahli-ahli kumpulan ketika sebelum kelas bermula, masa rehat, masa selepas persekolahan atau ketika pelajar ponteng kelas.

g) Didikan Agama

Kekurangan didikan agama turut mendorong peningkatan aktiviti gensterisme. Secara umumnya, jika didikan agama kukuh di dalam diri individu, maka secara langsung ia boleh menghindar remaja tersebut dari terperangkap di dalam kegiatan gengsterisme. Keluarga yang kurang pendidikan ini juga boleh menyebabkan anak remaja mereka tidak terikat dengan nilai keagamaan serta pembentukan akhlak yang baik lantas terbabas ke dalam kumpulan bergeng ini.

C. Langkah Mengatasi Masalah Gengsterisme

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk membantu sekurang-kurangnya mengurangkan masalah gengtserisme kalaupun tidak dapat menghapuskannya sama sekali. Antaranya:

a) Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-msing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan atau diskusi dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anak-anak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumaha tetapi juga di sekolah.

b) Peranan Sekolah

Sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi kemelut gengsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh mengadakan hubungan langsung dengan ibu bapa terutama pelajar yang dikesan bermasalah atau disyaki terlibat dengan kumpulan gengsterisme. Sekolah boleh menganjurkan kem atau program tertentu yang berterusan untuk memerhati atau memantau kegiatan pelajar berisiko ini. Kokurikulum di sekolah juga mampu memainkan peranan besar di dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan organisasi beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru dan pada waktu yang sama mempertahankan pencapaian akademiknya.

c) Peranan Masyarakat

Gengsterisme mesti dilihat sebagai masalah berterusan yang melibatkan bukan hanya pemerhatian dari pihak sekolah semata-mata. Masyarakat juga boleh memainkan peranan mereka jika isu ini mahu diatasi sepenuhnya. Badan-badan luar terutama badan sosial atau organisasi beruniform boleh melibatkan diri mereka dengan sepenuhnya sebagai agen luar yang bertanggungjawab. Mereka boleh menjadi pengantara di antara sekolah dan pelajar.

d) Peranan Kerajaan

Kerajaan memain peranan penting menangani masalah gengsterisme ini. Tindakan keras perlu diambil supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko.

e) Peranan Media

Masalah gengsterisme juga boleh diatasi jika media memainkan peranan yang lebih proaktif. Walaupun untuk menghentikan siaran yang ganas dan bersifat jenayah kurang adil untuk industri media massa, media boleh mengurangkan siaran sebegini atau sekurang-kurangnya keprihatinan media ditunjukkan melalui penayangan program yang bersifat pembentukan kepribadian remaja yang unggul. Pembabitan pelajar yang berjaya mesti ditonjolkan supaya mereka menjadi idola kepada pelajar yang lain. Rancangan-rancangan sebegini yang harus diutamakan agar remaja menonton ‘role model’ yang baik yang boleh menjadi ikutan mereka.

Posted By=Nur Hafifah

No comments:

Post a Comment